fbpx

Jenaka mengkritik, Harith Iskander nafi anti kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARITH Iskander nafi anti kerajaan, namun mengakui dia hanya menjadikan parti yang menang sebagai bahan jenaka.

KUALA KUMPUR – Sering menghentam dan mengkritik kerajaan melalui lawak jenaka, pengacara dan pelawak Harith Iskander menafikan dia serta kebanyakan pelawak lain bersikap anti kerajaan.

Sebaliknya, Harith, 56, berkata, mereka lebih mudah menjadikan pihak yang menang dan dikenali ramai sebagai bahan lawak berbanding golongan yang kalah atau minoriti.

“Sebenarnya bukan sebab kami anti kerajaan. Ramai orang tak faham, pelawak akan buat komedi tentang sesuatu yang megah.

“Contohnya kita tak boleh buat lawak pasal penganggur kerana subjek itu ‘underdog’. Sebaliknya kena buat lawak tentang sesuatu yang orang semua tahu.

“Sewaktu parti Pakatan Harapan menang pada 2018, ramai pelawak buat lawak pasal mereka. Bukan pasal Barisan Nasional sebab mereka kalah,” ujarnya.

Tambah Harith lagi, konsep komedi sebegitu bukan sahaja diamalkan di Malaysia bahkan di luar negara.

“Sama juga seperti di Amerika Syarikat, pelawak buat jenaka tentang presiden Joe Biden, Donald Trump dan bukan parti pembangkang kerana lebih mudah dan ramai yang faham,” ujarnya.

Dalam pada itu, Harith berkata, dia menolak beberapa tawaran menyertai parti politik berikutan enggan memikul beban parti.

Dia juga sedar penglibatan dalam sesebuah parti politik akan menjadikan dirinya sasaran dan dibenci pihak tertentu.

“Bila seseorang masuk sesuatu parti politik, mereka akan memikul beban parti.

“Ada parti politik yang minta saya sertai mereka tapi saya tolak. Saya tak mahu pikul beban dan sejarah parti itu yang tiada kena-mengena dengan saya.

“Macam Afdlin Shauki, dia masuk PKR dan automatik dibenci oleh orang yang tak suka parti itu. Mereka dah tahu kesannya tetapi tetap teruskan asalkan berjuang untuk sesuatu yang baik,” ujarnya.

Harith berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Persembahan Komedi Paling Penting Tahun Ini Relazz-lah Malaysia yang diadakan di Joke Factory, semalam.

Persembahan Komedi Paling Penting Tahun Ini Relazz-lah Malaysia yang menampilkan Harith, Prakash Daniel, Mad Sabah dan Brian Tan akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 26 November ini.

Persembahan komedi tersebut bertujuan menghiburkan rakyat Malaysia yang masih berusaha untuk bangkit semula selepas pandemik Covid-19.

Untuk pembelian tiket yang berharga RM188 hingga RM388 boleh hubungi nombor 013-3907165. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI