fbpx

PRU15: Kertas siasatan dakwaan fitnah Razman dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusri (kanan) bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di pusat mengundi di Pusat Latihan Kontinjen Perak, Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh hari ini.

IPOH – Kertas siasatan berhubung kenyataan kontroversi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunong Semanggol, Razman Zakaria telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sedang menunggu arahan daripada pihak berkenaan untuk tindakan seterusnya.

“Tiada individu yang dipanggil setakat ini. Kertas siasatan telah dirujuk kepada TPR (Timbalan Pendakwa Raya) dan kita tunggu arahan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di pusat mengundi di Pusat Latihan Kontinjen Perak, Balai Polis Pasir Puteh di sini hari ini.

Menerusi laporan sebuah portal berita, Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak dikatakan mendakwa UMNO dan Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama selepas PRU15.

Razman juga dilaporkan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai PH membawa budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan mahu menghalalkan perkahwinan sejenis manakala DAP pula membawa agenda komunis.

Sehubungan itu, Polis Perak telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Razman itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI