fbpx

EPL: Penyokong muak sikap Ronaldo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ronaldo (kanan) mendedahkan bahawa dia tidak lagi menghormati Ten Hag yang dianggap telah mengkhianatinya. – AFP

MANCHESTER – Para penyokong Manchester United seakan sudah muak dengan sikap dipamerkan bintang mereka, Cristiano Ronaldo sambil menyifatkan kritikannya terhadap kelab itu dan pengurus, Erik Ten Hag hanya merosakkan legasi yang telah dibina.

Pemain berusia 37 tahun itu mendakwa bahawa United telah mengkhianatinya dan mengakui bahawa sudah hilang rasa hormat terhadap Ten Hag ketika sesi temubual bersama Piers Morgan.

Bagaimanapun, kenyataan secara terbuka dilakukan oleh Ro­naldo itu mengundang kemarahan para penyokong yang mendakwa dia sebenarnya telah mengkhianati kelab itu.

“Semakin cepat Ronaldo me­ninggalkan kelab ini, semakin baik untuk pasukan. Permainan ‘sarkas’ yang dicipta tidak diperlukan di kelab ini dan United menjadi lebih baik tanpanya,” kata seorang peminat.

“Ronaldo telah merosakkan legasinya sebagai seorang pemain bola sepak dan manusia. Keegoannya telah merosakkan segala-galanya. Sangat memalukan apabila dia mengakhiri karier dengan cara sebegini,” jelas salah seorang lagi peminat.

Malah, penyokong lain juga mendakwa bahawa mereka tidak sabar untuk melihat Ronaldo meninggalkan Old Trafford ke­rana sudah muak dengan sikap tidak profesional dan menganggap United bermain lebih baik tanpanya.

Ronaldo dalam temu bual berkenaan mendedahkan bahawa Ten Hag dan beberapa lagi individu mahu dia meninggalkan kelab itu ketika ditemubual selama 90 minit dalam rancangan Piers Morgan Uncensored.

“Ya, bukan sahaja jurulatih, tetapi dua atau tiga orang lagi di kelab ini mahu saya pergi. Saya rasa seperti dikhianati. Mereka tidak mahu saya berada di sini, bukan sahaja musim ini, tetapi ia berlaku sejak musim lalu.

“Saya tidak menghormati Ten Hag kerana beliau juga tidak menghormati saya,” jelasnya.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI