fbpx

Pilihan raya Bahrain tanpa penyertaan parti pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG RAMAI beratur di hadapan sebuah pusat mengundi di Pulau Muharraq, utara Manama kelmarin. – AFP

MANAMA, Bahrain –  Rakyat Bahrain keluar mengundi kelmarin tetapi larangan ke atas calon pembangkang bermaksud pilihan raya berkenaan tidak akan membawa kepada perubahan bermakna walaupun bilangan calon mencapai angka tertinggi, kata kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.

Lebih 330 calon termasuk 73 wanita sekali gus paling ramai setakat ini, bertanding  merebut  40 kerusi majlis perwakilan iaitu dewan rendah Parlimen yang memberi nasihat kepada Raja Hamad. Monarki Bahrain berkenaan memerintah selepas kematian bapanya pada Mac 1999.

Dalam perkembangan berkaitan, barisan orang ramai dilihat di 55 pusat mengundi di seluruh negara  itu sebelum ia dibuka tepat pukul 8 pagi (waktu tempatan).

Amina Issa yang merupakan ketua sebuah pusat mengundi di Manama berkata, kehadiran pengundi adalah besar sejak beberapa jam pertama dengan bilangan mereka terus meningkat.

Selepas pusat-pusat mengundi ditutup pada pukul 8 malam, Pusat Komunikasi Nasional Bahrain menerbitkan peratusan keluar mengundi rasmi sebanyak 73 peratus sekali gus mengatasi rekod 67 peratus pada 2018.

Kerajaan Bahrain yang didominasi keluarga  pemerintah berfahaman Sunnah, telah melarang dua kumpulan pembangkang utama daripada mengemukakan calon  iaitu gerakan Syiah Al-Wefaq dan parti sekular,  Waad yang masing-masing dibubarkan pada 2016 serta 2017.

“Pilihan raya ini tidak akan memperkenalkan sebarang pembaharuan. Tanpa penyertaan pembangkang,  kami tidak akan memiliki sebuah negara yang sihat,” kata aktivis hak asasi manusia Bahrain yang berpangkalan di Britain, Ali Abdulemam.

Pilihan raya kelmarin diadakan lebih satu dekad selepas operasi membanteras penunjuk perasaan Syiah yang menuntut pembaharuan politik dalam tahun 2011.

Sejak dari itu, pihak berkuasa telah memenjarakan beratus-ratus penentang termasuk pemimpin Al-Wefaq, Sheikh Ali Salman dengan ramai antara mereka dilucutkan kerakyatan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI