fbpx

Gagal bawa keluar sarang burung RM240,000 dalam bagasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maqis berjaya mematahkan cubaan membawa keluar dua bagasi mengandungi sarang burung bernilai lebih RM240,000 melalui KLIA2 Sabtu lalu. - Foto IHSAN MAQIS SELANGOR

SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mematahkan cubaan membawa keluar sarang burung bernilai lebih RM240,000 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Mohd. Sobri Md. Hashim berkata, pihaknya menyita 40 kilogram (kg) sarang burung yang cuba dibawa keluar seorang warga Vietnam dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Sarang burung itu diletakkan di dalam dua buah bagasi dipercayai untuk dibawa ke Vietnam bagi tujuan perniagaan, namun perbuatan itu dikesan mesin pengimbas kastam.

“Barangan itu didapati tidak mempunyai permit eksportdan sijil kesihatan veterinar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, perbuatan mengeksport hasilan haiwan tanpa permit yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (2), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaaan
Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta sama.

“Jika disabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” tegas beliau.

Tambah Mohd. Sobri, Maqis akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke Malaysia adalah bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

“Maqis juga akan memastikan ia tidak menjejaskan sektor pertanian, penternakan dan makanan negara di samping mematuhi aspek kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI