fbpx

Rakyat terkesan akibat pandemik terus diberi perhatian – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri beramah mesra bersama orang ramai yang hadir pada Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan terus memberi perhatian kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan.

Beliau berkata, komitmen kerajaan dapat dilihat melalui Kementerian Sumber Manusia yang sentiasa mengambil langkah memastikan kebajikan pekerja dan majikan termasuk mereka yang terlibat dalam ekonomi baharu seperti Gig.

“Jika pada tahun 2020 hanya segelintir gig riders dilindungi kini lebih 260,000 mendapat perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso, setelah kerajaan turut menyumbang kepada carumannya.

“Selain itu program kemahiran semula dan penjanaan pendapatan juga diperkenalkan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan apabila syarikat-syarikat yang menjadi tempat mereka bekerja terpaksa mengurangkan operasi atau ditutup,” katanya ketika berucap pada Karnival Keluarga Malaysia Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, komitmen kerajaan membantu masyarakat yang terjejas dapat dilihat apabila di bawah sistem insurans pekerjaan ditawarkan Perkeso, seramai 188,526 Keluarga Malaysia telah menerima manfaat faedah kewangan berjumlah RM1 bilion.

Katanya, itu belum mengambil kira pampasan dan bantuan perkhidmatan pekerjaan yang turut diberikan kepada individu terbabit.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, program Penjana Human Resources Development Corporation (HRDCorp) telah berjaya memberikan latihan semula kepada hampir 100,000 Keluarga Malaysia daripada pelbagai latar belakang dengan peruntukan RM500 juta sepanjang tahun 2020 hingga 2021.

“Hakikatnya kesan Covid-19 bukan alasan untuk Keluarga Malaysia khususnya kumpulan B40 mengalah sebaliknya mengambil peluang untuk menambah baik ekonomi keluarga menerusi peluang-peluang yang disediakan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, impak positif daripada program JaminKerja-Insentif Penggajian yang dilaksanakan oleh Perkeso telah diteruskan dalam Bajet 2023.

Beliau memberitahu, berdasarkan statistik Perkeso sehingga 28 Oktober tahun ini, jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 65,774 orang dengan penglibatan 8,513 majikan.

Justeru beliau berharap para majikan memanfaatkan Program JaminKerja-Insentif Penggajian yang menawarkan insentif kewangan kepada majikan sehingga RM42,000 untuk tempoh 12 bulan bagi setiap pekerja baharu yang diambil bekerja.

“Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan.

“Kajian tahap penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia yang dilaksanakan oleh Ilham Centre baru-baru ini, mendapati 82.5 peratus rakyat mahu program JaminKerja diteruskan di masa hadapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI