fbpx

Impak pandemik, Cakra Khan jual jam bayar gaji pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANPA mengusik tabung simpanannya, Cakra Khan berjaya membayar gaji pekerjanya selepas menjual jam tangan miliknya ketika pandemik.

PETALING JAYA – Fasa pandemik Covid-19 yang pernah menyerang dunia turut memberi impak kepada penyanyi Indonesia, Cakra Khan sehingga memaksanya menjual jam tangan kesayangan bagi melunaskan gaji pekerja.

Katanya, kebajikan kakitangan yang setia sejak bertahun-tahun lalu lebih diutamakan hingga dia sanggup memilih melepaskan barangan peribadi berikutan kegawatan ketika itu.

“Situasi fasa tersebut sangat getir kerana hampir semua sektor pekerjaan terjejas termasuk persembahan hiburan yang mengakibatkan sumber kewangan saya sendiri agak membimbangkan, sekali gus risau beri risiko terhadap kakitangan.

“Saya kasihan dan tak mahu melihat mereka berhenti. Saya kena fikir alternatif lain yang boleh membantu meneruskan kelangsungan mereka. Paling mudah adalah dengan menjual barangan kurang penting termasuk jam tangan,” katanya.

Ujarnya, meskipun masih terlibat dengan persembahan virtual, namun pendapatan yang diraihnya pada ketika itu tidak sebanyak seperti sebelum pandemik.

“Pada masa sama saya enggan keluarkan wang simpanan kerana itu untuk waktu kecemasan.

“Jadi hasil jualan beberapa barangan dapat saya gunakan menampung bayaran gaji pekerja tanpa perlu usik tabungan,” katanya.

Sementara itu, ditebak nilai jam tangan tersebut berserta barangan lain yang dikatakan mampu menampung pembayaran gaji pekerja sepanjang pandemik, Cakra hanya tertawa tanpa mendedahkan harga sebenar.

Kongsi penyanyi Kekasih Bayangan itu lagi, sejak dulu ibu dan ayahnya mendidik anak-anak supaya menghargai setiap sen selain mengingatkan supaya membuat persediaan masa depan menerusi pelaburan emas.

“Alhamdulillah. Semua ini berkat didikan orang tua supaya kami sentiasa beringat dan bersedia andai sesuatu berlaku, contohnya ketika fasa pandemik yang menjejaskan pekerjaan dan pendapatan dua tahun lalu,” katanya.

Mengenai status pula, penyanyi yang masih solo pada usia 30 tahun itu juga terbuka membicarakan soal jodoh, namun memaklumkan buat masa ini fokus utama lebih kepada membahagiakan keluarga selain kerjaya seni suara.

Cakra berkata demikian usai sidang media Konsert A Decade: Cakra Khan Live in Kuala Lumpur 2023, kelmarin.

Konsert anjuran Seven Skies Motion yang menawarkan tiket berharga antara RM222 hingga RM1,292 dijadualkan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 Januari tahun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI