fbpx

Tiga butir peluru dikeluarkan daripada kaki Imran Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imran ketika ditemu bual oleh beberapa wakil media di sebuah hospital di Lahore pada 4 November lepas. – AFP

LAHORE – Bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan me­nyatakan bahawa tiga butir peluru dikeluarkan daripada kaki kanannya selepas insiden tembakan yang mence­derakan pe­mimpin tersebut minggu lalu, lapor stesen penyia­ran CNN kelmarin.

Imran terselamat dalam kejadian tembakan semasa perarakan politik di bandar Gujranwala Khamis lepas. Insiden itu disifatkan oleh parti pimpinan beliau sebagai cubaaan membunuhnya.

Imran semasa ditemu bual pengacara CNN, Becky Anderson kelmarin berkata, tulang kakinya retak dan kakinya disimen.

“Mereka (pasukan perubatan) mengeluarkan tiga butir peluru daripada kaki kanan saya, manakala kaki kiri saya retak,” katanya sambil menambah, masa empat hingga enam minggu diperlukan sebelum beliau boleh kembali melakukan aktiviti se­perti biasa.

Bercakap dari kediamannya di Zaman Park, Lahore, Imran memberitahu, beliau mendapat maklumat da­ripada agensi-agensi risikan bahawa insiden tembakan ming­gu lalu akan berlaku.

“Perlu diingat bahawa saya berkuasa selama tiga tahun setengah. Saya mempunyai hubungan dengan beberapa agensi risikan yang beroperasi.

“Bagaimana saya mendapat maklumat? Daripada orang dalam agensi risikan. Mengapa? Kerana ramai orang terkejut dengan apa yang berlaku di Pakis­tan,” ujarnya.

Minggu lalu, agensi risikan Pakistan, Perisikan Antara Perkhidmatan (ISI) menyatakan, pihak­nya ada berkomunikasi mengenai ancaman terhadap Imran sebelum perarakan bermula.

“Kami telah memaklumkan kerajaan Persekutuan mengenai ancaman tersebut sebelum mereka memaklumkan perkara itu kepada kerajaan Punjab,” kata ISI dalam satu kenyataan.

Tambah ISI, pasukan kese­lamatan Imran juga berada di bawah kuasa kerajaan wilayah Punjab, yang diketuai oleh parti pimpinan beliau, Tehreek-e-Insaf (PTI).

Satu kematian dilaporkan dalam serangan minggu lalu yang turut mencederakan beberapa individu lain. Imran dibawa ke hospital dan beransur sembuh.

Pemimpin itu minggu lepas menyalahkan Perdana Menteri Shebaz Sharif, Menteri Dalam Negeri, Rana Sanaullah dan pegawai kanan risikan, Mejar Jeneral Faisal sebagai berkomplot untuk membunuhnya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI