fbpx

PRU15: Tiada isu ‘satu undi untuk siapa’ – Ku Nan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Adnan beramah mesra dengan penduduk semasa 'walkabout' di Medan Selera Presint 16 Putrajaya, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Tiada isu berbangkit mengenai ‘satu undi untuk siapa’, namun apa yang penting Malaysia perlu ditadbir dengan baik.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, semua orang tahu bahawa calon Perdana Menteri bagi Barisan Nasional (BN) adalah Datuk Ismail Sabri Yaakob dan ia telah disebut oleh Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada Allah S.W.T pada akhirnya. Malah, Ismail Sabri juga tidak tahu (menjangka) beliau dilantik sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

“Bagi saya tiada isu sama ada satu undi untuk Ismail Sabri atau Ahmad Zahid, tapi yang penting satu undi (di Putrajaya) untuk saya lah,” katanya ketika ditemui sewaktu beramah mesra bersama penduduk di Medan Selera Presint 16, di sini hari ini.

Ujar beliau, tema manifesto BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ialah Kestabilan Dan Kemakmuran dan ia perlu diperjuangkan oleh mana-mana calon BN.

Sebelum ini, calon BN Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan dakwaan pembangkang bahawa satu undi yang diberi untuknya di kawasan itu bersamaan satu undi untuk Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri.

Menurut Khairy, tiada kekeliruan mengenai siapa Perdana Menteri kerana Ahmad Zahid sudah umumkan bahawa calonnya adalah Ismail Sabri.

Semalam, Ismail Sabri menegaskan beliau masih ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) selepas PRU15.

Menurutnya, pemilihan beliau sebagai calon jawatan utama pentadbiran kerajaan itu telah diputuskan secara jelas pada Persidangan Agung UMNO 2021 serta keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada April lalu.

Baru-baru ini, 156 daripada 190 Bahagian UMNO mencadangkan usul bahawa Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI