fbpx

Manis berhijab, Nad Zainal mohon doa baik-baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAD Zainal mula mencuri perhatian apabila mengenakan hijab ketika menjalani penggambaran travelog di Thailand beberapa minggu lalu.

PETALING JAYA – Dramatis terkenal Nad Zainal buat pertama kalinya tampil pada majlis hiburan dengan imej berhijab sekali gus seakan menjawab teka-teki tentang penampilan terbaharunya itu.

Bagaimanapun, Nad atau nama lengkapnya Farah Nadia Zainal ketika ditemui Kosmo! Online enggan mengulas lanjut tentang imej tersebut.

Sebaliknya, pelakon itu hanya meminta supaya orang ramai terus mendoakannya untuk terus istiqamah.

Alasannya, dia enggan terlalu bercerita mengenai penampilan tersebut kerana masih mempunyai projek yang memerlukan dia tampil tanpa hijab.

“Saya tak nak cakap banyak. Kalau boleh tak nak cerita pasal penampilan baharu (berhijab). Apa yang saya boleh katakan adalah doakan yang terbaik buat saya.

“Sebenarnya saya masih ada tugas yang memerlukan saya tidak berhijab yang telah dipersetujui sebelum ini. Satu projek filem dan satu lagi drama bersiri yang panjang,” kongsinya.

Tambah dramatis berusia 32 tahun itu lagi, dia sebenarnya sudah menyimpan niat untuk berhijab sejak dua tahun lalu.

“Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk berhijab sejak dua tahun lalu lagi sebenarnya. Jadi doakanlah yang baik-baik,” ujarnya.

Ketika disoal tentang rezekinya dalam bidang lakonan selepas mengambil keputusan untuk menutup aurat, Nad tidak takut jika kehilangan rezeki, malah yakin dengan perancangan-Nya.

“Mungkin sesetengah pihak beranggapan sukar untuk saya mendapatkan watak selepas ini. Tapi saya percaya pada rezeki.

“Tapi saya rasa tak akan jadi masalah. Lagipun ramai sahaja pelakon yang berhijab dan masih mendapat watak yang bagus contohnya seperti Noorkhiriah,” ulasnya.

Nad yang ditemui pada majlis tayangan perdana drama Cina Buta di TGV Sunway Velocity turut berkongsi rasa gembira dan teruja apabila akhirnya dapat bergandingan dengan pelakon Ungku Ismail yang telah lama menjadi ‘sasarannya’ selama ini.

Malah, sepanjang pembabitannya sebagai pelakon selama 13 tahun, Nad menganggap Cina Buta adalah karya paling memuaskan hatinya sebagai pelakon.

“Saya sudah lama menyimpan hasrat untuk bergandingan dengan Ungku Ismail. Sebenarnya dia hampir menarik diri terlibat dalam drama ini (Cina Buta). Kalau dia tarik diri, saya juga akan berbuat demikian.

“Sepanjang 13 tahun terbabit dalam bidang lakonan, Cina Buta adalah drama paling puas saya berlakon. Sebelum ini saya tidak berapa gemar tonton lakonan sendiri. Tapi Cina Buta buatkan saya jadi tidak sabar,” katanya.

Terdahulu, penampilan Nad mencetuskan tanda tanya apabila dia dilihat memakai hijab termasuk ketika menjalani penggambaran travelog bersama Ungku Ismail di Thailand.

Nad mengakui bahawa dia sedang dalam fasa belajar untuk bertudung penuh dan meminta doa yang baik-baik agar dirinya terbuka hati untuk mengekalkan penampilan sebegitu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI