BERMULA sebagai penyanyi dan pemain muzik, siapa sangka tekad wanita bernama Kim Ji-won yang pada awalnya hanya mencuba nasib dalam bidang lakonan berhasil membuka mata khalayak global.
Impak kesungguhan hampir sedekad berkelana dalam industri hiburan, aktres berusia 32 tahun itu kini dikejar deretan sutradara.
Mana tidaknya, dinamik lakonan daripada sisi antagonis, psiko seram sehingga ke karakter sebaik-baik insan, kredibiliti serta versatiliti Ji-won tidak perlu disangkal.
Terus mendakap tuah, nama aktres kelahiran Seoul itu sekali lagi meledak menerusi lakonan berkesannya dalam drama fenomena berjudul Queen of Tears.
Ratu air mata
Naskhah kompleks sarat penjiwaan dek krisis perkahwinan selain suntikan jalan cerita unik tersebut meraih pujian sebagai drama terbaik tahun ini, apatah lagi dengan kemenjadian lakonan gandingannya dengan Kim Soo-hyun.

Ji-won mengakui watak sebagai Hong Hae-in dalam naskhah terbabit sangat sukar selain menuntut pendekatan teknik lakonan dan emosi berbeza sehingga diberi jolokan sebagai ratu air mata.
“Saya memang banyak bawa watak berat sebelum ini tetapi kali ini memang payah.
“Karakter Hae-in itu sendiri sangat kuat dan lemah dalam masa sama, saya kena gabungkan dua elemen itu agar dinamik lakonan saya berkesan di hati penonton.
“Ada sebab mengapa tajuk drama ini Queen of Tears, memang banyak babak saya menangis teresak-esak sampai sembab muka.
“Rasanya keseimbangan kesedihan dalaman watak dengan konflik cinta yang memeningkan menjadi salah antara faktor, mengapa peranan Hae-in menjadi perbualan bahkan ‘trending’ dalam platform media sosial,” tuturnya menerusi sebuah rancangan temu bual.
Tambahnya lagi, watak Hae-in sebenarnya mengajar banyak perkara, termasuk erti kekuatan dalam mengharungi sepak terajang kehidupan.
“Apa pun saya gembira bawa watak Hae-in, namun paling memberi kesan sebenarnya apabila saya dapat memahami karakter tersebut secara mendalam yang memberi banyak tamparan kepada saya dalam dunia realiti.
“Daripada watak tersebut saya belajar. Hae-in tidak semata-mata menghabiskan waktunya untuk berputus asa meskipun ibarat sudah kenyang dengan air mata.
“Walaupun mengalami waktu sulit, dia mengatasinya dengan cepat dan berusaha bangkit semula kerana sedar betapa kerasnya kehidupan ini.
“Semangat watak itu yang kini saya pegang,” tuturnya panjang lebar.
Profesional
Dalam pada meriahnya sambutan drama dek lakonan berkualiti gandingan Ji-won dan Soo-hyun, timbul pula dakwaan mendakwa, keserasian mudah terbina memandangkan mereka sememangnya sedang menyulam cinta.
Hanya tersenyum, aktres bermata bundar itu bertegas, kemenjadian lakonan mereka disebabkan masing-masing sangat komited dan saling ‘memberi’ ketika berdialog.
Dalam masa sama, bintang The Heirs itu turut memuji profesionalisme aktor tampan itu dalam menjayakan semua babak, baik adegan romantis mahupun bertikam lidah.
“Soo-hyun sangat profesional, dia regu lakon yang sangat membantu.

“Kami saling memberi dalam menjayakan setiap babak.
“Sebelum setiap adegan, saya dan dia akan betul-betul rancang serta fokus apa yang patut kita lebihkan supaya babak tersebut terlihat serasi dan menjadi sebagai pasangan suami isteri dalam drama berkenaan.
“Dia pula jenis terbuka menerima cadangan, hal itu membuat saya berasa dia sangat fokus dan tulus mendengar apa yang saya sampaikan,” katanya lagi.
Paling utama ujar Ji-won, Soo-hyun ialah orang yang sangat menyenangkan dan lucu sehingga berjaya memadamkan rasa canggung sepanjang di set penggambaran.
“Kalau mahu cerita soal keserasian, regu lakon kita sangat penting supaya menjadikan keadaan tidak janggal di set dan benda itu ada pada Soo-hyun.
“Selain pandai berlakon, dia handal meriangkan suasana yang tegang. Jadi, kita pun tidak tertekan selepas menjayakan watak berat.
“Dia juga King of Adlibs (improvisasi), jadi setiap dialog jadi lebih menarik dan sebenarnya dialog-dialog spontan begitu yang diambil peminat seterusnya dimuat naik dalam media sosial sehingga tular,” kongsinya.
Berbaloi
Kini meraih populariti mencanak sederet dengan bintang K-drama papan atas lain, tiada apa yang mahu dikatakan pelakon Descendants of the Sun itu selain bersyukur segala kerja kerasnya berbaloi.

“Saya memang minat seni, ibarat sudah bercampur dalam diri saya, syukur bakat dan kerja keras saya kini berbaloi selepas 16 tahun dalam industri seni.
“Betul orang kata, berusahalah sekerasnya, sampai masa kita akan nampak hasilnya, lambat atau cepat sahaja.
“Terima kasih kepada semua peminat yang tidak jemu menyokong saya daripada awal permulaan karier.
“Selepas ini lebih banyak lagi watak yang mahu saya cuba dan bereksperimentasi sekali gus memberikan lakonan terbaik untuk semua peminat,” ujarnya menutup bicara.














