AWAL Julai lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah melancarkan Nissan Serena S-HYBRID 2022 dengan gaya dan ciri keselamatan yang dipertingkat.
Pada majlis yang berlangsung di pusat beli-belah Mid Valley Megamall, Bangsar, Kuala Lumpur itu, dua varian telah ditawarkan bagi model tersebut. Dua varian berkenaan ialah Highway Star dan Premium Highway Star.
Model tersebut hadir dengan pelbagai ciri-ciri premium, namun pada harga mampu milik. Ia turut memiliki ciri-ciri keselamatan tambahan dan penampilan lebih ceria selaras dengan reka bentuk model Nissan terkini.
Baru-baru ini, Garaj telah diberi peluang untuk memandu uji varian Premium Highway Star dengan tambahan pilihan rim Impul bersaiz 18 inci. Sekadar makluman, model Serena ini hadir dengan rim bersaiz 16 inci sebagai standard. Pilihan rim Impul ini hanya ditawarkan untuk varian tertinggi Premium Highway Star sahaja iaitu pada harga RM3,500 termasuk tayar.
Di samping mengekalkan penampilan elegan, lampu depan dwiprojektor diberikan rekaan baharu selain gril hadapan V-motion baharu dengan corak krom.
Bampar depannya turut diberikan rekaan semula dengan lampu kabus bersepadu dan lampu siang (DRL) di setiap sudut.

Sementara itu, bampar belakangnya pula ditambah dengan kemasan hitam, jadi tampak berbeza sedikit dengan sebelum ini. Lampu belakang rekaan baharunya juga direka seiring identiti terkini model itu.
Kenderaan pelbagai guna (MPV) ini menggunakan enjin petrol 2.0 liter yang dilengkapi Dual ArmTensioner yang mengoptimumkan daya tegangan pada tali pinggang untuk mengurangkan geseran, kehilangan kuasa dan meningkatkan kecekapan bahan api.
Enjin hibrid itu juga dipadankan dengan kotak gear XTRONIC CVT (Continuously Variable Transmission) Nissan dengan Adaptive Shift Control untuk menyelaraskan kawalan antara enjin dan transmisi.
Mod ECO juga boleh diaktifkan untuk membantu pemandu meningkatkan kecekapan bahan api tanpa kehilangan keseronokan atau keselesaan pemanduan.
Penulis difahamkan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) ini menggunakan bahan api satu liter untuk perjalanan sejauh 14.2 kilometer (km). Ini bermakna, dengan satu tangki penuh, ia dapat bergerak sejauh 852km yang secara tidak langsung mengurangkan kekerapan pemandu ke stesen minyak.

Bagi meningkatkan suasana premium dalam kabin, pelapik kalis bunyi telah ditambahkan pada penutup roda belakang. Ini membantu mengurangkan tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH) sekali gus memberikan suasana dalam kabin yang harmoni, tenang dan senyap.
Model ini juga hadir dengan ciri-ciri perisai keselamatan 360 darjah demi perlindungan yang menyeluruh dan lengkap.
Untuk Serena S-HYBRID serba baharu ini, perisai keselamatan 360 darjahnya dilengkapi dengan Keselamatan Aktif yang dipertingkat dengan rangkaian sistem sekali gus meningkatkan kesedaran pemandu terhadap persekitaran serta mengambil tindakan untuk mengelakkan perlanggaran.
Ciri-ciri ini termasuk Predictive Forward Collision Warning dan Emergency Braking, Lane Departure Warning, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.

Sensor radar yang terletak di bahagian hadapan kenderaan dapat mengesan jarak antara dua kereta di hadapan serta kelajuan relatifnya.
Ini membolehkan sistem menilai situasi di depan model itu dan mengenal pasti potensi risiko perlanggaran.
Jika pemandu tidak bertindak balas dengan betul selepas amaran diberikan (dengan memberhentikan atau memperlahankan kenderaan), sistem akan menekan brek secara automatik.
Justeru, potensi perlanggaran dengan kenderaan hadapan dapat dielakkan atau kerosakan boleh dikurangkan dengan kelajuan hentaman yang lebih rendah.














