fbpx

PRU15: Che Abdullah wakil BN bertanding di Parlimen Tumpat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Abdullah (duduk, kanan) semasa mengisi borang pencalonan BN di Pejabat UMNO Kelantan, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi akan mempertahankan kerusi Parlimen itu sebagai calon Barisan Nasional (BN) selepas Pas tidak memberi laluan kepadanya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, seluruh akar umbi parti terutamanya UMNO Bahagian Tumpat secara terbuka menerima baik kehadiran Che Abdullah.

Menurutnya, keputusan untuk memberi laluan kepada Che Abdullah bertanding atas tiket BN kerana beliau dilihat sebagai calon yang boleh menang.

“Kita menawarkan kerusi berkenaan kepada Che Abdullah dan telah mengadakan pertemuan dengannya.

“BN Kelantan lega apabila beliau bersetuju dengan tawaran yang diberikan (bertanding atas tiket BN di Tumpat),” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sebelum ini, BN tidak mengumumkan calon bagi kerusi Parlimen Tumpat pada Majlis Pengumuman Calon BN di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia malam kelmarin.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Pas menggugurkan dua nama penyandang Ahli Parlimen di Kelantan iaitu Datuk Che Abdullah dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada PRU15.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam Majlis Pengisytiharan Calon PRU15 PN Negeri Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini semalam.

Beliau mengumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md. Nawi dicalonkan bagi Parlimen Tumpat menggantikan Che Abdullah.

Sementara itu, penyandang Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh pula digantikan dengan Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd. Syahir Che Sulaiman.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Che Abdullah memperoleh kemenangan dengan majoriti 17,500 undi dengan menewaskan calon BN, Datuk Wan Johani Wan Hussin dan Pakatan Harapan, Datuk Nordin Salleh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI