PETALING JAYA – Keterujaan pengundi untuk memilih calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tergambar apabila hampir 80 peratus bilik hotel di seluruh negara telah ditempah pada hari penamaan calon dan pengundian.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, rata-rata penyewa adalah dalam kalangan pengundi serta jentera parti dan ia meliputi pinggir bandar dan kawasan kampung.
“Berdasarkan tinjauan kita, 80 peratus tempahan telah pun penuh pada hari penamaan calon iaitu 5 November ini dan hari mengundi pada 19 November.
“Tempahan berkenaan bergantung kepada lokasi terutama di kawasan yang tidak banyak pembekal haram seperti di kawasan kampung dan pinggir bandar.
“Bagaimanapun, dari sudut pertambahan pendapatan kita tidak dapat anggarkan kerana dalam keadaan sekarang hotel penuh pun tiada keuntungan.
“Ini disebabkan kewujudan agensi pelancongan dalam talian menurunkan harga bilik hotel pada kadar amat rendah,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 20 Oktober lalu menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi PRU15, manakala hari penamaan calon pada 5 November.

Ganesh menjelaskan, tempahan hotel bagi kawasan seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu tidak setinggi kawasan kampung atau di daerah-daerah berikutan terdapat banyak pembekal penginapan haram.
“Sebagai contoh di Batu Pahat dan Tanjong Malim, tidak banyak kondominium yang membekalkan penginapan haram jadi tempahan hotel adalah tinggi.
“Terdapat kira-kira 6,000 hotel bajet di seluruh negara ketika ini dan 2,700 daripadanya milik ahli MyBHA,” katanya.
Sementara itu, nada yang sama dinyatakan Presiden Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia, Zohaime Muhamad Sori apabila memberitahu, lebih 50 peratus inap desa di seluruh negara telah ditempah pada hari pengundian.
Jelasnya, rata-rata penyewa menempah untuk tempoh dua hari iaitu sehari sebelum pengundian.
“Sebagai contoh mereka yang pulang ke kampung untuk mengundi dan selepas mengundi mereka akan pulang ke tempat masing-masing.
“Menjelang hari mengundi kita jangka 80 peratus inap desa akan habis ditempah dan kebanyakannya adalah di kawasan kampung atau pinggir bandar,” katanya.
Jelas beliau, terdapat kira-kira 3,000 pengusaha inap desa di bawah persatuannya, bagaimanapun anggaran pendapatan sempena PRU15 belum dapat dipastikan.













