SAMA seperti hujung minggu, Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur tetap sesak dan sibuk dengan ratusan individu yang mahu membeli keperluan dapur pada hari biasa.
Menjengah ke sebuah kedai yang tertera perkataan Lizar Chilli Curry Spices, seorang wanita dilihat begitu sibuk melayan pelanggan.
Di hadapannya, terbentang sebuah meja yang sarat dengan aneka bekas berisi bahan-bahan segar buatan sendiri seperti kisaran bawang, halia, kunyit, cili dan lain-lain lagi. Tidak ketinggalan rempah segera yang turut dihasilkannya sendiri seperti rempah kari, kurma, rendang, mi udang dan lain-lain lagi.
Mengusahakan perniagaan tersebut sejak tahun 1985, tangannya begitu ligat menyenduk rempah-rempah masakan yang diinginkan pelanggan ke dalam sebuah bekas bersaiz sederhana besar untuk pelanggan.
Biarpun tidak menang tangan melayan orang ramai yang datang silih berganti di kedainya, namun wanita ini masih mampu menguntumkan senyuman.
Sambil berbual mesra, wanita ini tidak lupa berkongsi resipi dan tip memasak kepada pelanggan yang bertandang.
Siapa tidak kenal dengan nama Auntie Liza atau pemilik nama Rosaline Ong ini, wajahnya sememangnya tidak asing bagi pengunjung setia pasar TTDI.
Boleh dikatakan kunjungan ke pasar besar itu tidak akan lengkap sekiranya tidak mengunjungi gerai milik wanita bertubuh kecil molek berusia 66 tahun ini.

Popular dalam kalangan masyarakat dalam dan luar negara kerana rempah-rempah yang dihasilkan bukan sahaja memudahkan urusan di dapur, bahkan ia juga enak dan menepati cita rasa masyarakat di negara ini.
Disebabkan itu jugalah ada segelintir individu yang sanggup membeli rempah-rempah yang dihasilkan sendiri Rosaline secara dalam talian terutamanya bagi mereka yang berada di luar Lembah Klang.
Menurut Shida Zainul, 43, sejak 10 tahun lalu, gerai Auntie Liza itu wajib disinggahinya setiap kali membeli barangan di pasar tersebut.
“Saya merupakan seorang wanita bekerjaya. Biarpun sibuk, namun saya tetap berkeinginan untuk menyediakan hidangan makanan yang lazat dan berkhasiat untuk seisi keluarga terutamanya anak-anak.
“Rasa masakan yang dihasilkan sama saja seperti menggunakan rempah-rempah yang dikisar sendiri kerana ia menggunakan bahan-bahan segar. Proses memasak juga menjadi bertambah mudah dan ia menjimatkan masa penyediaan.
“Bagi saya, rempah di sini berbeza dengan rempah segera lain yang dijual di kebanyakan pasar raya kerana ia tidak masam dan langsung tidak terasa kandungan MSG. Lebih mudah apabila saya kata, apa sahaja masakan yang ingin dimasak, Rosaline akan menyediakan terus rencahnya,” katanya.
Bercerita kepada K2, Rosaline yang merupakan wanita berketurunan Baba Nyonya itu berkata, dia mula menjalankan perniagaan rempah segar segera ini sejak berusia 29 tahun.

Pun begitu sebelum berkecimpung di dalam dunia pembuatan rempah segera ini, anak kelahiran Pulau Tikus, Pulau Pinang ini sebenarnya pernah berkelana ke London untuk belajar tata rias dan dandanan rambut.
Sebaik menamatkan pengajian, wanita ini pernah membuka salonnya sendiri di Pulau Mutiara.
Pun begitu, perniagaannya merosot pada tahun 1970-an dan tidak lama kemudian dia mula menyedari usaha yang dijalankan oleh keluarganya itu lebih menguntungkan.
“Ini merupakan resipi turun-temurun daripada nenek moyang. Sejak kecil lagi saya telah melihat mereka menggiling cili untuk dijual dan sedikit sebanyak minat serta kemahiran tersebut terpupuk. Saya melihat pes bahan segar segera ini mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Sudah namanya rakyat Malaysia, siapa sahaja yang tidak sukakan hidangan berempah dan pedas?
“Niat saya untuk menjual rempah ratus masakan sedia untuk dimasak ini lebih kepada untuk membantu orang ramai dalam hal-hal memasak kerana ada kalangan mereka tidak tahu memasak.
“Justeru dengan hanya menggunakan rempah-rempah yang dihasilkan ini, mereka boleh memasak dan menikmati aneka makanan yang diinginkan dengan lebih mudah,” kongsinya.
Biarpun kini terdapat lambakan rempah-ratus segera yang dijual di pasaran, namun produk yang dihasilkannya ternyata mempunyai keistimewaan tersendiri.

Selain menggunakan 100 peratus barangan semula jadi dan resipi turun- temurun nenek moyangnya, rempah masakan yang dihasilkannya juga memenuhi cita rasa penduduk di negara ini.
Siapa sangka bermula dari rumah, permintaan yang hangat itu juga menyebabkan Rosaline yang pada awalnya memproses rencah dan rempah segera di kediamannya di SS2 berpindah ke sebuah kilang kecil di Petaling Jaya.
Mempunyai hampir 100 jenis rempah di kedainya di pasar TTDI itu, menurut Rosaline, rempah rendang merupakan antara rempah yang mendapat sambutan hangat. Lebih-lebih lagi pada musim perayaan.
Bagaimanapun, kata Rosaline lagi, bukan mudah untuk dirinya memahirkan diri dalam dunia penghasilan rempah biarpun telah mempelajarinya sejak kecil.
Katanya, dia mengambil masa selama lima tahun untuk mempelajari selok-belok penghasilan rempah masakan.
“Pada awal penglibatan, prosesnya agak sukar. Ini kerana, saya perlu mengetahui teknik mencuci bawang-bawang dan barangan lain dengan betul bagi memastikan ia mampu tahan lebih lama, selain memastikan kebersihan produk yang dihasilkan terjamin.
“Bagaimanapun, kini semuanya sudah mudah dan setiap rempah ini seakan telah dihafal di dalam otak. Apabila pelanggan berkata mahu rempah untuk memasak kari dan sebagainya, saya dengan mudah boleh mencampurkan bahan-bahan tersebut,” jelasnya.
Kongsinya lanjut, rempah-rempah tersebut dihasilkan setiap hari yang mana dia dan enam orang pekerjanya akan mula beroperasi pada pukul 4 pagi.
“Setiap rempah akan dihasilkan dalam kuantiti 20 kilogram pada setiap hari di kilang yang terletak di Petaling Jaya. Uniknya rempah ini saya tidak menggunakan bahan pengawet sebaliknya 100 peratus bahan asli dengan sedikit garam untuk ketahanan.
“Kami juga boleh custom made rempah ingin dibeli mengikut masakan yang dimahukan pelanggan. Sebagai contoh, jika mereka mahu masak lemak cili padi, saya akan bantu mereka dengan mencampurkan kesemua bahan yang diperlukan ke dalam bekas.
“Jadi apabila kembalinya di rumah, mereka hanya perlu masukkan di dalam periuk dan letakkan bahan makanan yang diinginkan seperti ayam, daging serta udang sebelum dihidangkan,” tambahnya.
Selain rencah dan rempah asli basah, wanita ini turut menjual rempah kering kepada pelanggannya. Bagaimanapun, rempah asli basah lebih mendapat permintaan ramai. Ini kerana, rempah basah lebih mudah memandangkan mereka tidak perlu menambah bawang atau bahan-bahan lain untuk memasak.Katanya, kesemua bahan dijual pada harga serendah RM6 bagi 200gram dan boleh bertahan dalam tempoh enam bulan bagi pek segera, manakala seminggu bagi pek custom made.
















