fbpx

National Thrive Week beri inspirasi buat penghidap kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin (tengah) pada majlis pelancaran National Thrive Week di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Rangkaian Kanser Paru-paru Malaysia (LCNM), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Pfizer Malaysia yang telah melancarkan National Thrive Week buat  julung kalinya baru-baru ini bertujuan untuk menyokong komuniti kanser termasuk tahap lanjut dan metastatik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar  berkata, kanser adalah penyakit yang sangat lazim, dengan hampir separuh lelaki dan satu pertiga wanita akan mendapat diagnosis kanser dalam hidup mereka. 

“Di Malaysia, sebanyak 49,000 individu dianggarkan mendapat diagnosis kanser pada 2020 dan angka ini dijangka meningkat kepada lebih daripada 66,000 kes baharu setiap tahun menjelang 2030.

“Program saringan, diagnosis awal dan intervensi dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser tetapi kita harus pertimbangkan untuk memperbaiki kelestarian rawatan kanser dan pilihan penjagaan baik di tahap awal, lanjut, mahupun di tahap metastatik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena majlis pelancaran laman web tersebut baru-baru ini.

Antara aktiviti yang dijalankan bersempena minggu tersebut ialah forum awam mengenai kanser, pelancaran laman web yang menyediakan sumber digital komprehensif untuk pesakit tahap lanjut dan metastatik serta program Berjalan Bersama BCWA yang menghimpunkan komuniti kanser payudara di Malaysia.

Kempen berkenaan akan turut berusaha memupuk kesedaran melalui platform media sosial empat organisasi terlibat, dengan kandungan seperti video pendek daripada pesakit kanser, simposium digital dan banyak lagi kandungan untuk memberikan inspirasi kepada komuniti kanser.

Sementara itu, Ketua Kluster Negara untuk Pfizer Malaysia, Brunei & Pakistan, Luksanawan Thangpaibool berkata, pihaknya membayangkan National Thrive Week akan menjadi acara tahunan untuk mengumpulkan sumber dan sokongan bagi pesakit kanser tahap lanjut dan metastatik. 

“Matlamat kami adalah untuk mengumpulkan orang ramai untuk turut sama terlibat dengan menjadi penyedia maklumat, jawapan dan juga pembekal harapan buat pesakit dan keluarga mereka,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI