fbpx

Jual nama Awie, Ahmad Dhani, ‘scammer’ diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK Awie membuat laporan polis berhubung penipuan konsert palsu yang mempergunakan namanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selasa lalu.

PETALING JAYA – Penyanyi rock, Datuk Awie mendedahkan penipuan seorang wanita mempergunakan nama dan gambarnya bersama beberapa artis lain dengan menjual tiket konsert yang tidak wujud.

Katanya, cubaan mengaut keuntungan bagi persembahan yang kononnya akan diadakan di Sabah bertarikh 4 Februari 2023 itu dapat dipatahkan sebaik polis menahan individu tersebut, kelmarin.

“Satu percubaan melakukan penipuan untuk mendapat keuntungan dengan cara mudah telah dapat dibenteras pihak polis pagi tadi (Khamis).

“Wanita yang tinggal di Klang, Selangor itu mengaku ada (buat) konsert Unplugged Living Legend (Datuk Awie dan Ahmad Dhani) bersama artis undangan Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira.

“Kononnya akan berlaku di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah. Tak tahulah berapa ramai kena tipu bagi dia duit beli tiket,” tulisnya dalam satu hantaran Instagram.

Maklumat dalam poster konsert palsu menyatakan harga tiket dijual antara RM199 sehingga RM649.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 53, turut menyatakan individu dimaksudkan pernah ditahan pihak berkuasa beberapa kali atas kesalahan serupa.

Menerusi hantaran sama, vokalis Wings itu turut memuat naik beberapa paparan tangkap layar mesej antara wanita berkenaan dengan mangsanya.

POSTER konsert palsu membabitkan Awie, Ahmad Dhani dan beberapa selebriti popular lain antaranya Ella, Erra Fazira dan Ziana Zain.

Pada masa sama, Awie berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan dakwaan berhubung mana-mana penganjuran konsert selagi tiada bukti nyata.

“Harap jangan mudah percaya. Kami pun tak tahu menahu mengenai konsert ini. Gambar kami digunakan untuk poster dan ‘scam’ (tipu) orang. Berhati-hati semua.

“Jika konsert pastinya akan ada sidang media, lebih-lebih lagi dengan nama besar seperti Ahmad Dhani, Ziana, Ella dan Erra,” ulasnya lagi.

Sementara itu, Awie bersama rakan seperjuangan dalam Wings iaitu Eddie, Black, Syam dan Edrie kini berada di Pulau Pinang bagi menjayakan Konsert Mega Marhaen @Mid Town Perda.

Hampir sedekad tidak menghiburkan peminat di negeri berkenaan, lokasi persembahan mega berdurasi dua jam itu dianggarkan boleh memuatkan sekitar 10,000 penonton. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI