PADA bulan Jun lalu, Mercedes Benz Malaysia telah memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) GLC 300e 4MATIC Coupe sempena perasmian cawangan Hap Seng Star di Setia Alam, Selangor.
Model hibrid plug-in versi pemasangan tempatan dengan gaya coupe empat pintu itu sesuai untuk mereka yang inginkan sebuah kenderaan berprestasi yang dalam masa sama bersifat mesra alam.
Gaya rekaan coupe itu berjaya mengangkat imej sporty pada sebuah kenderaan SUV agar tampak menarik. Hasilnya, muncullah kenderaan dengan rupa yang sempurna, berdefinisi kebebasan terbesar serta memiliki tahap teknologi perintis yang lebih tinggi.
Varian hibrid plug-in baharu ini menjadi bukti coupe merupakan lambang jiwa sporty, ciri keselamatan dan kecekapan.
Mercedes Benz tidak dinafikan merupakan antara jenama automotif yang sangat kukuh dan berjaya dalam segmen SUV di Malaysia.

Model GLC 300e 4MATIC Coupe menawarkan pelanggan kenderaan yang lebih cekap secara keseluruhan kerana ia mempunyai keupayaan untuk memulihkan tenaga semasa brek serta pembakaran enjinnya berlaku dalam julat operasi yang menggalakkan.
Baru-baru ini penulis membuat pandu uji model ini.
Dari segi rekaan luaran, gril dengan logo Mercedes Benz bersaiz besar kelihatan pada bahagian hadapannya.
GLC 300e ini menggunakan lampu utama jenis Multibeam LED dengan ciri-ciri Bantuan Lampu Tinggi Adaptif.
Model ini juga hadir dengan spesifikasi AMG Line.
Pada bahagian sisi pula, model ini menggunakan rim AMG bersaiz 20 inci. Tayar hadapannya berukuran 255/45, manakala tayar belakang lebih lebar dengan saiz 285/40.
Model varian tunggal ini menggunakan enjin petrol 2.0 liter dengan pengecas turbo dan transmisi sembilan kelajuan automatik. Kombinasi tersebut mampu menghasilkan kuasa 211hp pada 5,500rpm dan tork 350Nm dari 1,600 hingga 4,000rpm.

Mercedes Benz Model GLC 300e 4MATIC Coupe ini juga dipadankan bersama motor elektrik yang menghasilkan output kuasa 120hp (90kW) dan tork 440Nm.
Kuasa yang dihasilkan enjin yang dibantu dengan motor elektrik itu mampu menghasilkan gabungan kuasa maksimum 320PS, manakala tork gabungan tertinggi pada 700Nm.
Sekiranya bateri dicas penuh, SUV ini boleh bergerak sejauh 40 kilometer (km). SUV ini mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.7 saat.
Kelajuan maksimum model ini ialah 230km/j, namun jika menggunakan motor elektrik 100 peratus, kelajuan maksimumnya hanya 140 km/j.

Masuk ke ruang kabin, walaupun papan pemuka seperti model Mercedes Benz terdahulu, susun aturnya kemas dan mudah untuk dikendalikan. Material kemasan kayu hitam dengan kemasan aluminium tampak elegan.
Tempat duduk dan sterengnya menggunakan material kulit nappa premium, manakala kemasan kulit buatan Artico pada bahagian pintunya.
Ia dilengkapi sistem infotainment dengan paparan jenis digital MBUX yang hadir bersama pakej parkir berserta kamera 360 darjah untuk membantu pemandu melihat keadaan di sekeliling SUV tersebut.
Ciri-ciri seperti touchpad dapat membantu memudahkan lagi operasi kenderaan pada model ini.
Dari aspek keselamatan pula, model ini turut hadir dilengkapi sistem Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic dan perlindungan kenderaan Urban Guard, selain sistem penggera antikecurian yang boleh dilihat dari aplikasi Mercedes me di telefon pintar.
Ia turut dilengkapi ciri-ciri Active Lane Keeping Assist, Blind Spot Assist dan Active Brake Assist untuk membantu pemandu.














