fbpx

Wanita meninggal dunia semasa jalani proses IVF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa berada dalam keadaan sihat sebelum mendapat kesan sampingan yang jarang berlaku semasa proses pengumpulan telur. - Fertility Hub

NEW DELHI – Seorang ibu muda dari India menemui ajal semasa menjalani rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) apabila mengalami kesan sampingan yang sangat jarang berlaku, lapor portal berita MailOnline semalam.

Mangsa yang berusia 23 tahun meninggal dunia secara mengejut ketika doktor sedang mengumpul telur matang dari dalam ovarinya.

Wanita yang berkahwin selama tujuh tahun dan mempunyai seorang anak perempuan berusia empat tahun yang dilahirkan secara semula jadi itu kelihatan sihat ketika pergi ke hospital untuk menjalani prosedur tersebut.

Bagaimanapun, jantungnya berhenti berdegup semasa prosedur berjalan tanpa sebarang amaran.

Bedah siasat mendedahkan dia meninggal dunia akibat sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS), satu komplikasi yang menjejaskan satu daripada tiga wanita yang menjalani IVF.

Pengarah badan amal kesuburan Progress Educational Trust (PET), Sarah Norcross, memberitahu bahawa risiko kematian akibat OHSS sangat jarang berlaku.

Keadaan itu menyebabkan ovari wanita mengembang secara berbahaya dan dalam kes yang teruk, boleh menyebabkan mangsa berjuang untuk bernafas dengan darah beku dalam paru-paru mereka.

Hasil bedah siasat menunjukkan ovari mangsa yang biasanya bersaiz 3 sentimeter bertambah sekitar tiga kali lebih besar daripada yang sepatutnya.

Dia juga mempunyai sembilan hingga 10 folikel yang membesar pada dinding setiap ovari dan terdapat cecair di sekeliling perut dan paru-parunya yang merupakan tanda-tanda OHSS.

Pakar membuat kesimpulan bahawa mangsa telah meninggal dunia akibat edema pulmonari akut, keadaan di mana pengumpulan cecair dalam paru-paru yang disebabkan oleh pembekuan darah dan menjadikannya sukar untuk bernafas dan membawa kepada serangan jantung. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI