fbpx

Sukarelawan polis cedera ditembak semasa menunggang motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mangsa semasa menerima rawatan di HRPZ II, Kota Bharu semalam. - FOTO IHSAN KELUARGA

KOTA BHARU – Seorang anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia yang berpangkat koperal cedera di dada kanannya selepas dipercayai ditembak semasa sedang menunggang motosikal ke sebuah kedai nasi lemak di tepi Jalan Aur Duri, Kampung Seberang dekat Salor di sini malam tadi.

Mangsa, Kamarul Fadzreen Kamaruzaman, 30, sempat menghubungi rakan sekerjanya untuk meminta bantuan sebelum memaklumkan kepada pemilik kedai nasi lemak supaya menghubungi talian kecemasan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis menerima panggilan telefon dari Hospital Pasir Mas kira-kira pukul 11.30 malam yang memaklumkan seorang lelaki cedera akibat terkena tembakan.

Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa dipercayai ditembak kira-kira 10.30 malam dan insiden itu menyebabkan lelaki itu cedera pada bahagian paru-paru kanan.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Pasir Mas sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan lanjut, namun berada dalam keadaan stabil dan sedang ditidurkan ketika ini.

“Susulan daripada kejadian itu, polis telah menahan seorang suspek lelaki berusia 35 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ibu mangsa, Fadzliza Ilias, 53, berkata, anaknya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Ketereh memaklumkan mahu keluar untuk bertemu rakannya di kedai nasi lemak tersebut kira-kira pukul 10.15 malam.

Menurutnya, selepas sejam Kamarul Fadzreen keluar, bapanya, Kamaruzaman Latif, 59, menerima panggilan beberapa kali daripada rakan mangsa sebelum memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Saya terkejut dan terus bergegas ke Hospital Pasir Mas. Pihak hospital memaklumkan Kamarul Fadzreen ditembak di bahagian dadanya dan ketika itu dia sudah tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Ujar Fadzliza, Kamarul Fadzreen selesai menjalani pembedahan membuang peluru di dada kira-kira pukul 7 pagi tadi dan keadaannya kini semakin stabil.

Tambahnya, dia tidak mengetahui punca sebenar kejadian yang menimpa anaknya dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI