fbpx

Lima produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Produk-produk yang dikesan mengandungi racun berjadual dan dilarang penjualannya di seluruh negara. - FOTO/ IHSAN KKM

PUTRAJAYA – Bahagian Regulatori Farmasi Negara Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mengesan lima produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual yang seterusnya dilarang penjualannya di seluruh negara.

Produk-produk tersebut adalah Karisma Birds Nest Gel yang dikesan mengandungi hydroquinone dan tretinoin, Haemun Cream (miconazole), Sweet 13 Skincare Treatment Cream, Ninaskincare Skin Puteh Moisturizer dan Skin Dessert Cream yang semuanya mengandungi merkuri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang awam digesa untuk berhenti daripada membeli dan menggunakan produk-produk tersebut kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Menurutnya, notifikasi produk yang terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di di negara ini.

“Produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan miconazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Noor Hisham, ydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Selain itu katanya, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari manakala anti-fungal (miconazole) yang diguna secara tidak terkawal boleh meningkatkan risiko kerintangan dan seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan.

Beliau berkata, penggunaan merkuri pula dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

“Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf selain mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

“Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” ujarnya.

Noor Hisham menegaskan penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI