fbpx

Kekalahan buat Tze Yong lebih matang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TZE YONG tewas dalam aksi rubber-set kepada June Wei di peringkat suku akhir Indonesia Masters kelmarin. – BADMINTON PHOTO

JURULATIH perseorangan lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hendrawan percaya, kekalahan pada peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters kelmarin tidak melemahkan semangat anak buahnya, Ng Tze Yong.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu terpaksa akur dengan kekalahan 21-16, 13-21, 19-21 kepada rakan senegara yang juga pemain profesional, Cheam June Wei.

Bagaimanapun, Hendrawan menganggap kekalahan itu sebagai proses pembelajaran buat Tze Yong untuk menjadi pemain lebih matang, selain mampu berdepan tekanan tinggi.

“Tze Yong tewas, tetapi keputusan sangat rapat selain dia sudah berikan tentangan sengit kepada Cheam (June Wei). Saya akui Cheam menampilkan aksi yang lebih baik.

“Pada set ketiga, Tze Yong tewas pada mata penting walaupun sudah mendahului 17-14, tetapi ia adalah perkara biasa dalam permainan. Siapa yang lebih fokus akan dapat kelebihan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pengendali dari Indonesia itu tidak menolak kemungkinan June Wei sudah tahu corak permainan Tze Yong kerana kedua-dua pemain tersebut pernah menjalani latihan bersama di Akademi Badminton Malaysia.

Beliau juga percaya status sebagai pilihan utama sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada Tze Yong setiap kali pemain kelahiran Johor itu melangkah masuk ke dalam gelanggang.

“Mungkin dia (Cheam) tahu (permainan Tze Yong), tetapi perlawanan sengit kerana ke­dua-duanya bermain sangat baik. Jujurnya memang akan ada tekanan apabila turun sebagai pilihan utama.

“Saya gembira dengan aksi Tze Yong yang sudah berusaha sebaik mungkin. Saya harap selepas ini dia akan jadi pemain lebih matang kerana sekarang dia sedang menimba pengalaman,” ujar Hendrawan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI