PETALING JAYA – Taktik menganjurkan crowd funding dengan menjaja kisah sedih orang miskin kini menjadi trend untuk mengaut keuntungan peribadi.
Modus operandi mereka amat mudah iaitu mengitar semula kisah penderitaan, sakit atau kemiskinan sesetengah individu untuk dijadikan modal melancarkan tabung di media sosial sebelum mengambil sebahagian wang tanpa persetujuan mangsa.
Lebih licik, selain menggunakan laman web sendiri, gerakan itu juga aktif menggunakan pempengaruh media sosial sebagai alat untuk menjana hasil melalui kisah sedih yang dijajakan sekali gus mengumpul lebih banyak sumbangan.
Bertambah parah apabila ada mangsa yang dimarahi apabila bertanyakan mengenai pembayaran yang dirasakan tidak adil dan telus.
Mungkin niat sudah betul tetapi apa yang menjadi persoalan ialah bukan sahaja sistem tidak telus, malah tindakan mereka mencuri sebahagian besar maklumat orang susah melalui akhbar tempatan kononnya ingin membantu.
Menceritakan pengalaman itu, salah seorang mangsa golongan B40 yang dikenali sebagai Amy memberitahu, dia telah dihubungi oleh wakil penganjur selepas kisahnya yang ditimpa pelbagai penyakit dan kemiskinan disiarkan di sebuah akhbar.
Katanya, dia yang menerima bantuan zakat bersetuju selepas dimaklumkan kutipan itu adalah percuma dan segala wang diperoleh melalui crowd funding akan diserahkan kepadanya.
“Pada mulanya saya ragu-ragu bimbang ditipu kerana sebelum ini pernah menjadi mangsa scammer hingga tinggal sehelai sepinggang.
“Namun akhirnya saya bersetuju tetapi di pertengahan kempen saya cakap kepada penganjur saya enggan teruskan kerana saya hanya menerima kurang 40 peratus daripada kutipan berbanding jumlah kutipan seperti yang dipamerkan di laman web penganjur,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurut Amy, kempen itu jauh berbeza dengan apa yang diperkatakan pada awalnya.
Tambahnya, apabila ditanya mengapa jumlah diterima amat sedikit, penganjur memberi alasan bahawa terdapat caj pengendalian yang dikenakan kepada penderma atau penyumbang.
“Rupanya mereka mengenakan caj RM2.50 untuk satu lot yang bernilai RM10. Jika kutipan RM5,000, saya hanya dapat RM3,750. Dalam kes saya, kami hanya menerima RM700 daripada RM1,500 kutipan dana dan ia kurang daripada 40 peratus,” katanya.
Ujar Amy, penganjur mengenakan caj pemasaran di Twitter dan Facebook dengan alasan untuk mendapatkan lebih ramai penderma.
“Caj pemasaran langsung tak masuk akal dan saya dimarahi jika bertanya lebih. Bagi saya ia perlu dijelaskan bukan sahaja kepada penerima tetapi penderma juga,” katanya.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Akmal memberitahu, dia pernah dihubungi oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan bagi membantu isterinya yang sakit.
“Selepas kisah saya tular, ramai ingin membantu dan minta izin untuk mengutip dana. Saya enggan kerana sudah banyak kali pihak tertentu mengambil kesempatan hingga mengundang kemarahan penderma,” katanya.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berkenaan berhenti melakukan perbuatan tersebut kerana ia hanya memberi perspektif negatif kepada orang yang betul-betul memerlukan.
“Siapa kita nak percaya selepas ini. Pada masa akan datang, kita tidak dapat bezakan mana pihak yang betul dan yang mana ambil kesempatan,” katanya.














