BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin terasa selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Pembubaran tersebut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan calon dan parti politik mahupun masyarakat di negara ini. Sebilangan pendapat menolak pelaksanaan PRU yang didakwa bakal dilaksanakan pada musim banjir.
Ini kerana mereka berpandangan bahawa penganjuran PRU ketika musim banjir itu boleh menjejaskan peratusan keluar mengundi pada 19 November depan.
Bagi membincangkan lebih lanjut isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual penganalisis politik yang juga geostrategis, Prof. Madya Dr. Azmi Hassan di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo! Ahad: Gendang PRU15 sudah bermula selepas Parlimen dibubarkan baru-baru ini. Pada pendapat Prof. adakah ia sesuai diadakan sekarang lebih-lebih lagi negara diramalkan mengalami banjir besar ekoran Monsun Timur Laut pada pertengahan November ini?
AZMI: Dalam hal ini kita ada pilihan. Memang benar, ia diadakan pada musim tengkujuh, tetapi banjir belum lagi berlaku. Itu satu pilihan, maksudnya jika mahu tunggu habis musim tengkujuh, ia mungkin mengambil masa kerana tempohnya sehingga Mac atau penghujung Februari. Selepas 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, saya melihat kerajaan pada waktu itu sudah tidak berfungsi.
Sememangnya, sukar untuk berfungsi apabila 12 menteri membelakangi Perdana Menteri (PM) dan Ismail Sabri sendiri ada bercakap tentang perkara itu. Saya melihat pada waktu itu, kerajaan sukar berfungsi apabila ada tentangan secara terbuka berkenaan.
Jadi, apabila kerajaan sudah tidak stabil dan tidak berfungsi, adakah kita sanggup menunggu sehingga Mac atau Februari? Bagi saya, saya tidak sanggup dan jelas kerajaan sudah tidak stabil.
Bagi menjawab soalan tadi, musim tengkujuh tidak menjadi penghalang, bukan sahaja pilihan raya tetapi semua hal.
Ada berpendapat PRU perlu diadakan segera bagi mendapatkan sebuah kerajaan yang kuat dan teguh. Ini kerana kerajaan yang ada sebelum ini dikatakan terlalu rapuh dan mudah goyah. Apa komen Prof. ?
Ya betul, kerajaan sebelum ini tidak kukuh dan stabil. Selepas 12 menteri PN menghantar surat, ia bermaksud PM perlu meletak jawatan. Situasi berkenaan turut berlaku dua bulan lepas di Britain, apabila Menteri Kesihatan, Sajid Javid hilang kepercayaan kepada kepimpinan Boris Johnson. Javid telah meletakkan jawatan, sebelum diikuti oleh menteri kewangan, Rishi Sunak dan ramai lagi. Akhirnya, Johnson terpaksa melepaskan jawatan sebagai PM. Ia sama dengan apa yang berlaku selepas 12 menteri itu memutuskan surat kepada istana. Jika diteruskan, kerajaan tidak boleh menggubal dasar-dasar ekstrem bagi membantu rakyat dan negara.
Apa yang Prof. dapat lihat pada PRU kali ini berbanding PRU14 dari segi kesepakatan parti-parti?
Dalam hal ini, jika dilihat pada PRU14, saya sendiri mengatakan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sebagai parti tunjang akan lupus. Namun, sekarang ini BN adalah satu entiti yang kuat, malah Pakatan Harapan (PH) yang pada ketika itu kuat, sekarang ini terkial-kial untuk membentuk gabungan.
Kerjasama yang PH mampu lakukan pada hari ini hanya dengan parti MUDA. Nasib dikatakan berpusing 180 darjah, BN yang pada ketika itu lemah hampir pupus, sekarang ini menjadi parti kuat dan begitu juga sebaliknya dengan PH.
Di sebalik pembubaran Parlimen, beberapa negeri yang dikuasai pembangkang tetap dengan pendirian tidak mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Adakah langkah itu tepat, memandangkan ia bakal memberikan beberapa implikasi termasuk dari segi kos dan masa pengundi ?
Ya PH dan Pas tidak mahu membubarkan DUN negeri-negeri yang dikuasai mereka. Ini kerana mereka mahu bersedia menghadapi musim tengkujuh dan banjir. Sekali lagi saya katakan, musim tengkujuh belum tentu akan banjir. Hakikatnya, itu hanyalah alasan sahaja.
Kalau kita lihat di Pulau Pinang DAP begitu kuat dan sukar untuk BN menembus masuk. Jadi, DAP melihat inilah masa terbaik untuk mereka bubar DUN. Jadi alasan mereka tidak mahu bubar DUN, bukan sebab musim tengkujuh.
Pemimpin PH, Pas mungkin melihat pengundi sangat naif, tetapi semua orang tahu mereka lemah sekarang ini berbading BN. Dalam hal ini, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri sudah berterus terang, lagi lambat pilihan raya Parlimen diadakan, lagi kuat GTA.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu, kadar peratusan keluar mengundi, terutama pemilih muda tidak seperti diharapkan iaitu hanya lima peratus daripada 54.92 peratus jumlah keseluruhan. Adakah situasi ini akan berubah pada PRU15 nanti terutamanya dengan kehadiran Undi18 buat kali pertama?
Di Johor, seramai 700,000 pengundi baharu pertama kali selepas Undi18 dikuatkuasakan. Ia tidak menunjukkan peningkatan mendadak dalam kalangan pengundi termasuk mereka yang baru mencapai umur 18 tahun dan pertama kali mengundi walaupun telah layak sebelum ini.
PRU kali ini mungkin berbeza sedikit, tetapi masalahnya ia akan terkait dengan enam negeri yang tidak membubarkan DUN.
Saya melihat sendiri situasi yang berlaku pada hari mengundi PRN Johor. Kebanyakan kenderaan dengan nombor plat Johor keluar ke sana dan ke sini. Ini membuatkan saya terfikir, mereka tidak mengundi ke? Rupanya, selepas dianalisis, saya melihat penyokong pembangkang sudah tahu BN Johor akan menang.
Lagi satu, walaupun 8 juta pengundi baharu, tetapi tidak banyak perbezaan kerana 80 peratus daripada mereka adalah dalam kalangan yang pertama kali mengundi. Maksudnya di sini, mereka tidak peduli sangat untuk mengundi, jadi apa bezanya dengan sekarang?
Bagi saya statistik keluar mengundi tidak akan melonjak mendadak pada PRU15 nanti.
Pada pandangan Prof. adakah rakyat semakin bijak menilai pemimpin yang boleh memberikan khidmat terbaik kepada mereka dan tidak lagi termakan janji-janji manis yang ditabur semasa berkempen ?
Ya betul. Bagi saya pengundi sekarang boleh mendapat maklumat dengan mudah. Tetapi pemilihan pengundi ketika ini termasuk diri saya sendiri adalah berdasarkan parti calon itu.
Jika parti itu mampu membentuk kerajaan, besar kemungkinan saya akan memilih calon tersebut kerana sekarang pengundi mahu kerajaan stabil dan mempunyai majoriti sihat. Itu dari segi parti politik. Dari segi calon pula, pengundi akan lihat kaliber calon itu sendiri. Jika calon itu ada harapan untuk dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri, maka pengundi akan memilih calon tersebut. Kita lihat sekarang ini menteri dan timbalan menteri dilantik mengikut kuota parti meskipun kadang-kadang tidak berfungsi dengan baik. Selepas ini, pengundi mahu menteri dilantik mengikut kepakaran dan kebolehan masing-masing.
BN nampaknya akan bersendirian pada PRU kali ini kerana Pas dikatakan mengadakan pakatan bersama Bersatu di bawah payung PN. Adakah fenomena ini akan memberi kelebihan kepada parti lawan iaitu PH untuk menang?
BN akan bergerak solo tetapi mereka masih mahu bekerjasama dengan Pas. Disebabkan itu, beberapa hari lepas, BN dan Pas masih lagi bermesyuarat. Tetapi Pas bertegas mahu bersama Bersatu.
Bagaimanapun, melihat statistik di Johor dan Melaka, jika PN bergerak solo, ia tidak akan segagah BN. Sebab itu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebolehnya mahu bekerjasama dengan PH atau GTA.Ada pihak mendakwa, bajet yang dibentangkan baru-baru ini adalah untuk pilihan raya kerana pembubaran Parlimen dibuat selepas dibentangkan. Minta sedikit penjelasan dalam hal ini ?Jika melihat kepada realiti sebenar, Ismail Sabri tidak mahu membubarkan Parlimen.
Tetapi, original intention adalah supaya bajet itu dibahaskan sebelum dibawa ke undian Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Memanglah bajet itu untuk pilihan raya, tetapi saya tidak nampak terlampau banyak gula-gula.
Pemberian seperti imbuhan penjawat awam, potongan cukai, pertolongan kewangan dan itu semua memang ada dalam bajet-bajet lepas. Jika kita lihat, defisit perbelanjaan pada tahun ini adalah 5.8 peratus, tetapi dijangka dikurangkan kepada 5.5 peratus tahun depan.
Maksudnya di sini, memang ada gula-gula sedikit, tetapi itu merupakan bajet yang berhemah dengan pengurangan defisit.
Pada pandangan Prof. apa yang diharapkan oleh rakyat terutamanya golongan muda pada parti-parti bertanding sebelum mereka memberikan undi?
Pastinya, parti yang dipilih diharap dapat menubuhkan kerajaan stabil dan Kabinet boleh buat kerja. Bagi anak muda, paling penting adalah peluang pekerjaan.
Jadi, ia memerlukan daya pemikiran kreatif bukan saja oleh menteri, malah penjawat awam di kementerian masing-masing.
Saya yakin, anak muda akan mengundi calon menteri yang boleh bekerja dan kreatif. Contohnya, Khairy Jamaluddin, letaklah di mana pun, dia boleh bekerja.
Bukan kerana dia hebat, tetapi dia boleh bekerja dan itulah calon yang anak muda mahukan. Jika semua menteri seperti itu, ekonomi kita pasti akan bertambah segar dan peluang pekerjaan bertambah.
PRU pada zaman teknologi ini mungkin mengubah landskap kempen ada amalan-amalan lalu. Apakah pendekatan yang boleh dilaksanakan parti-parti bertanding dalam PRU bagi mendekati pengundi?
Saya melihat, ceramah fizikal capaiannya terhad bagi mereka yang hadir sahaja. Bagaimanapun, ceramah fizikal kadangkala dimuat naik ke dalam media sosial. Jika ceramah secara fizikal, mungkin ambil masa satu atau dua jam. Sebaliknya, masyarakat kini mahu menonton video-video pendek dalam telefon pintar. Sebab itu, cara berkempen fizikal memang efektif kerana ada sasarannya.
Namun, tidak dinafikan kempen di dalam media sosial juga efektif kerana ada sasaran tertentu. Bagaimanapun. strategi digunakan perlulah betul.
Kadangkala saya lihat, ahli politik memuat naik video serta gambar lawatan ke sana dan sini, perkara itu tidak efektif. Media sosial ini ada tekniknya, walaupun 10 saat, jika betul dengan cara ia sangat berkesan. Sama seperti media arus perdana, jika seseorang itu suka membaca daripada mendengar, mereka pasti akan membeli surat khabar.














