fbpx

70 peratus polis Melaka digerakkan untuk PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainol ketika ditemui pemberita pada program Kempen Cegah Jenayah dan Walkabout Sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2022 di Jalan Bendahara, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Polis kontinjen Melaka menggerakkan hampir 70 peratus personel bagi menghadapi pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada bulan depan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, jumlah itu melibatkan seramai 1,800 pegawai dan anggota di kontinjen negeri.

Ujarnya, sebahagian aset yang lain telah bersiap siaga untuk membantu dalam menghadapi bencana Monsun Timur Laut dan menjaga keselamatan masyarakat.

“Kontinjen Melaka mempunyai seramai 2,572 pegawai dan anggota dan daripada jumlah itu, 1,800 personel telah ditugaskan untuk menjaga keselamatan pada PRU15 ini.

“Kita juga telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi bencana banjir dengan seramai 250 personel telah diletakkan dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi dan boleh diatur gerak pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Kempen Cegah Jenayah dan Walkabout Sempena Sambutan Perayaan Deepavali 2022 di Jalan Bendahara, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa kawasan kerusi panas yang dijangka menarik perhatian ramai.

“Kita telah kenal pasti kawasan panas ini dan akan pastikan keadaan (pelaksanaan pilihan raya) berjalan dengan lancar.

“Soal kawasan mana itu, biarlah polis yang uruskan, yang pasti kita telah membuat persiapan rapi. Rakyat tidak perlu bimbang keselamatan mereka, serahkan pada polis,” katanya.

Zainol berkata, setakat ini pihaknya juga tidak menerima sebarang permohonan permit untuk mengendalikan dron daripada mana-mana parti politik bagi tujuan berkempen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI