fbpx

Jamal Abdillah insafi kesementaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAMAL ABDILLAH

BIAR datang segerombolan wajah baharu menjadi pelapis industri seni suara, kedudukan penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah tetap tidak pernah berganjak di kedudukan asalnya.

Masih menjadi antara penyanyi veteran yang aktif berkarya dan mengadakan persembahan, sambutan peminat terhadap figura hebat itu tidak pernah sunyi.

Peminatnya juga muncul dari segenap lapisan generasi dan zaman sekali gus membuatkan penghibur itu bijak mengatur kerjaya seninya agar terus kekal relevan di mata khayalak.

Selepas mengambil pendekatan mengadakan kolaborasi bersama penyanyi muda dan popular masa kini sejak beberapa tahun kebelakangan, Jamal kembali dengan lagu solo.

Penghibur berusia 63 tahun itu kini tampil dengan sebuah single baharu berjudul Yang Memiliki hasil ciptaan sepenuhnya oleh Khusam dan Zaira Sham.

Lagu yang sudah pun dilancarkan secara rasmi pada 9 September lalu tersebut disifatkan Jamal, cukup dekat dengan kehidupan seharian manusia.

“Lagu ini tentang kita sebagai manusia, hanyalah hamba yang menumpang sementara di atas muka bumi.

“Segala kenikmatan yang kita miliki dipinjamkan Allah SWT,” ujarnya.

Ulas penyanyi yang popular dengan lagu hit Kekasih Awal dan Akhir itu lagi, terlalu banyak kenikmatan yang dipinjamkan Tuhan untuk manusia.

“Sejauh mana kita memilih untuk ke arah kebaikan atau sebaliknya, semuanya adalah pilihan kita.

“Kaya atau miskin, itulah ujian buat kita. Segala kehebatan, keindahan, kecantikan, kesempurnaan, keagungan serta yang baik-baik adalah daripada Allah, Pemilik dan Pencipta Yang Abadi,” katanya.

Abdillah tidak pernah berhenti muncul dengan karya terbaik dan berkualiti untuk peminat segenap lapisan umur.

Jatuh cinta

Sementara mengulas lanjut tentang lagu tersebut, Jamal mengakui terus jatuh cinta ketika kali pertama mendengar demo.

Disebabkan itu, dia tidak mengambil masa lama untuk memberi kata persetujuan menjadikan lagu tersebut sebagai single terbaharu daripadanya.

“Kali pertama mendengarnya, saya suka dan terus nyatakan persetujuan. Selepas itu, barulah penerbit bawa kepada Universal Music Malaysia untuk proses seterusnya.

“Alhamdulillah, prosesnya berjalan lancar apabila Universal Music berminat dan seterusnya saya menjalani sesi rakaman,” katanya lagi.

Satu hal yang menarik tentang Yang Memiliki, ketika rakaman, alat muzik dimainkan secara langsung oleh pemuzik profesional.

Menurut Kusham yang bertindak selaku penerbit, dia berasa bertuah kerana berpeluang menjalin kerjasama dengan penyanyi legenda seperti Jamal.

“Apabila muzik siap dirakam, seterusnya adalah proses rakaman suara Datuk Jamal dengan mengambil masa selama dua jam.

“Bagi saya, ini adalah pengalaman berharga buat saya dan Raja Iskandar atau Is Wow yang bertindak dalam bahagian proses adunan muzik apabila dapat bekerjasama dengan legenda. Proses yang sangat mudah dan profesional,” kata Kusham.

Bukan sekadar lagu dan hiburan, Kusham turut berharap agar Yang Memiliki dapat memberi manfaat buat semua pendengar.

“Semoga lagu ini bukan sekadar hiburan tetapi dapat mendidik jiwa pendengar ke arah kebaikan yang dicari,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI