fbpx
Askar Ukraine menembak pelancar bom tangan automatik MK-19 ke arah kedudukan tentera Russia berhampiran dengan Toretsk di wilayah Donetsk, kelmarin. – AFP

NATO ikrar tingkat bekalan senjata kepada Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS, BELGIUM – Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg menggesa negara-negara anggota pakatan tentera itu supaya meningkatkan bekalan senjata kepada Ukraine termasuk sistem pertahanan udara canggih, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Stoltenberg bercakap kepada pemberita Selasa lalu ketika Russia meneruskan serangan bertubi-tubi ke atas Ukraine menjelang mesyuarat dua hari peringkat menteri di Brussels, bermula kelmarin.

“Menteri-menteri NATO akan meningkatkan sokongan kepada Ukraine supaya tentera Kiev dapat terus mempertahankan diri dan wilayah mereka daripada pencerobohan Kremlin,” kata Stoltenberg.

Beliau turut menyifatkan serangan yang menyasarkan orang awam awal minggu ini sebagai tanda Presiden Vladimir Putin ‘gagal di Ukraine’ selain sokongan NATO kepada Kiev menjadi faktor penting dalam perang tersebut.

“Apa yang kita lihat semalam (Isnin) merupakan isyarat kelemahan. Russia sebenarnya sedang mengalami kekalahan dalam perang ini,” kata beliau. 

Tambah Stoltenberg, Kremlin bertindak balas terhadap kemaraan tentera Ukraine di wilayah yang dirampas dengan meningkatkan serangan ke bandar-bandar dan me­nyasarkan orang awam serta infrastruktur penting dalam tindakan yang menggambarkan Putin kini kekurangan pilihan.

Beliau dalam masa sama, mengalu-alukan komitmen Jerman dan Amerika Syarikat yang membekalkan sistem pertahanan udara canggih kepada Ukraine, namun katanya, Kiev memerlukan lebih lagi.

“Sistem pertahanan udara NATO berkesan kerana kebanyakan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Russia (pada Isnin dan Selasa) telah berjaya ditembak jatuh oleh Ukraine,” katanya. – Agensi 

POPULAR