fbpx

Sabah tidak akan diserahkan kepada Filipina – Wan Junaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Junaidi

PUTRAJAYA – Malaysia menyifatkan tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu sebagai suatu provokasi dan pelanggaran ke atas kedaulatan serta kepentingan ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak berkenaan kini sedang menggunakan proses timbang tara yang merupakan mekanisme undang-undang antarabangsa persendirian untuk menyerang kepentingan kedaulatan Malaysia di luar negara.

Katanya, proses tersebut bukan sahaja disalah guna tetapi ia juga suatu bentuk provokasi ke atas kedaulatan dan kepentingan Malaysia.

“Malah persoalan sama ada Sabah berkemungkinan menjadi sebahagian daripada Filipina susulan keputusan pengisytiharan di Mahkamah Paris, ingin saya tegaskan bahawa situasi ini tidak akan berlaku.

“Sabah tidak akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Filipina dan Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bertujuan untuk menjelaskan dan menerangkan dengan lebih lanjut jawapan balas Wan Junaidi di Parlimen Malaysia pada 6 Oktober lalu kepada soalan yang dikemukakan Penyandang kerusi Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berhubung isu pertikaian timbang tara antara pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu serta Kerajaan Malaysia.

Wan Junaidi berkata, keputusan pengisytiharan di Mahkamah Paris telah diserahkan Penimbang Tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu yang bertujuan untuk mengisytiharkan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu dengan tuntutan berjumlah USD14.92 bilion.

Katanya, apabila dinyatakan bahawa pengisytiharan keputusan Mahkamah Paris tersebut merupakan ‘tuntutan peribadi’, ia merujuk kepada tuntutan yang dibuat oleh individu persendirian (pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu) dan bukan tuntutan oleh Kerajaan Filipina. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI