fbpx

EB optimis hasil pengeluaran produk RM3.5 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pengurusan tertinggi EB bersama Rahilah (enam dari kanan) menyempurnakan secara simbolik majlis pecah tanah kilang baharu syarikat itu.

KUALA SELANGOR – Syarikat pengeluar produk sejuk beku, EB Frozen Food Sdn. Bhd. (EB) optimis untuk menghasilkan pengeluaran produk bernilai RM3.5 bi­lion mulai dua tahun akan datang.

Keyakinan itu bersandarkan kepada projek pembinaan kilang terbaharu seluas lapan hektar di Eco Business Park V, Puncak Alam di sini, yang bakal siap menjelang pertengahan 2024.

Pengerusi dan Pengasas Kumpulan Everbest, Ang Chin Hooi berkata, kilang pertama di Selangor bernilai RM350 juta itu meliputi pengeluaran makanan, gudang, pusat inovasi selain pejabat, parkir dan asrama.

Katanya, pembukaan kilang EB itu kelak berupaya menghasilkan kapasiti pengeluaran 120,000 tan produk setahun.

“Menerusi kilang sedia ada di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah, pengeluaran syarikat kini mencecah 90,000 tan dengan nilai RM1.5 bilion.

“Justeru, kami menyasarkan kapasiti pengeluaran lebih 50 produk EB bakal meningkat sehingga 210,000 tan setahun, sekali gus memenuhi permintaan tinggi pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pe­rasmian pecah tanah kilang itu yang disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Rahilah Rahmat baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Everbest, Chris Ooi dan Pengurus Besar Divisyen Eco World Development Group Berhad (EcoWorld), Ho Kwee Hong.

Ujar Chin Hooi, pembelian dan permintaan pengguna terhadap makanan sejuk beku sema­kin meningkat sejak pandemik Co­vid-19 melanda.

“Kekurangan tenaga kerja dan bahan mentah global turut menggalakkan rantaian makanan memilih produk separuh masak.

“Kami percaya, pengguna akan mempunyai keyakinan terhadap jenama EB dan mendorong kami terus cemerlang,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya memilih untuk mengembangkan perniagaan di Eco Business Park V, Puncak Alam kerana lokasinya terletak di kawasan strategik dan mudah diakses.

“Selain terancang, kawasan itu direka dengan cantik dan kami mengharapkan potensi pertumbuhan besar bersama EcoWorld.

“Pembukaan kilang itu juga bakal menyediakan 2,000 pe­luang pekerjaan kepada penduduk setempat dan bakal me­rancakkan lagi ekonomi di negeri ini,” katanya.

Tambah Chin Hooi, syarikat itu turut menyasarkan peng­eksportan produk ke 50 negara terutamanya ke Eropah berbanding 32 negara pada ketika ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI