fbpx

Pemimpin utama Demokrat mahu AS henti jual senjata kepada Riyadh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENENDEZ berjalan menuju ke Dewan Senat di Bangunan Capitol, Washington pada 3 Ogos lalu. - AFP

WASHINGTON – Seorang senator yang berpengaruh di Amerika Syarikat(AS) mendesak supaya Washington membekukan semua kerjasama dengan Arab Saudi susulan keputusan Riyadh ‘menyokong’ perang Russia di Ukraine dengan mengurangkan pengeluaran minyak.

Riyadh, Moscow dan pengeluar minyak utama lain bersetuju pada minggu lalu untuk mengurangkan pengeluaran bagi meningkatkan harga minyak mentah dalam langkah yang dikecam AS sebagai akur kepada Moscow dan akan menjejaskan ekonomi dunia.

“Tiada ruang untuk mengambil keuntungan daripada kedua-dua belah pihak yang bertelagah dalam konflik ini. Sama ada anda menyokong negara-negara bebas (Barat)  menghentikan penjenayah perang (Vladimir Putin)  daripada menghapuskan Ukraine daripada peta dunia, atau anda menyokong dia (Putin).

“Kerajaan Arab Saudi memilih pilihan kedua dalam keputusan buruk yang didorong oleh kepentingan ekonomi sendiri,” kata Bob Menendez selaku Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat dalam satu kenyataan.

Kartel Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan 10 sekutunya yang diketuai oleh Russia,  sepakat untuk mengurangkan pengeluaran minyak dunia kepada dua juta tong sehari bermula November ini sekali gus mencetuskan kebimbangan harga minyak akan melonjak.

Arab Saudi berkata, keutamaan OPEC adalah ‘untuk mengekalkan pasaran minyak yang mapan’ tetapi langkah itu mendapat tentangan segera daripada Washington. Ia berikutan AS kini mengetuai usaha untuk memencilkan Russia kerana menceroboh Ukraine.

“AS mesti segera membekukan semua aspek kerjasama dengan Arab Saudi termasuk jualan senjata dan kerjasama keselamatan, malah lebih jauh lagi, melainkan terhad kepada keperluan untuk mempertahankan kakitangan dan kepentingan negara sahaja.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, saya tidak akan memberi lampu hijau kepada sebarang kerjasama dengan Riyadh sehinggalah  kerajaan berkenaan mengubah pendiriannya berhubung perang di Ukraine. Cukuplah di sini,” kata Menendez. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI