fbpx

Mahkamah: Tiada lagi penangguhan soal balas saksi kes 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini tidak akan melayani sebarang penangguhan sesi soal balas saksi kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menegaskan, mahkamah akan meneruskan prosiding akan datang meskipun peguam utama, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah tidak berkelapangan mengendalikan pemeriksaan balas.

“Saya tidak boleh membazirkan masa selama beberapa jam dan menangguhkan perbicaraan ini sementara menunggu mahkamah lain untuk menyelesaikan kesnya.

“Saya mempunyai masa sehingga tengah hari, jadi kita hendak buat apa sekarang?” ujar Hakim Collin ketika menolak permohonan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed untuk menangguhkan pemeriksaan balas seorang bekas pegawai kanan bank yang merupakan saksi pendakwaan ke-40.

Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan bekas Pengarah Urusan AmInvestment Bank Berhad, Kok Tuck Cheong, 67, pada perbicaraan kes rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri.

Selain Tuck Cheong, pihak pembelaan turut menangguhkan soal balas terhadap beberapa saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan sebelum ini.

Terdahulu, Wan Aizuddin memaklumkan Muhammad Shafee tidak dapat memeriksa balas saksi pendakwaan ke-40 kerana sedang mengendalikan rayuan kes Repco Low di hadapan hakim berlainan.

Bagaimanapun, Hakim Collin menyatakan, pihak pembelaan mempunyai pasukan yang dianggotai oleh ramai peguam dan beliau (Wan Aizuddin) berkelayakan untuk mengendalikan pemeriksaan balas.

Ujar beliau, mahkamah sudah memberi banyak peluang penangguhan dan tidak lagi boleh bertolak ansur dengan sebarang permohonan pada masa akan datang.

“Jika peguam utama tidak hadir, kamu boleh mengendalikannya. Jika tiada pemeriksaan balas, mahkamah menganggap ia telah dilakukan dan perbicaraan akan diteruskan dengan pemeriksaan semula,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Wan Aizuddin menyatakan beliau tidak bersedia dan akan memaklumkan perkara itu kepada Muhammad Shafee.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, penangguhan soal balas saksi menimbulkan kesukaran kepada pihak pendakwaan untuk mengendalikan perbicaraan kerana mereka terhalang untuk memanggil saksi lain.

“Pihak pendakwaan perlu menyelaraskan pemanggilan saksi-saksi, bukannya duduk diam sahaja dalam mahkamah,” ujarnya.

Menurut Sri Ram, esok beliau akan ke Mahkamah Persekutuan kerana perlu mengendalikan satu kes melibatkan anak guam berusia 94 tahun dan beliau akan hadir setelah kes itu selesai.

Perbicaraan bersambung petang ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI