fbpx

Pemilik stesen minyak hilang jam tangan Rolex bernilai RM49,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Seorang pemilik sebuah stesen minyak di sini kerugian kira-kira RM49,500 apabila jam tangan jenama Rolex miliknya disedari hilang pada pagi kelmarin.

Kehilangan jam itu disedari individu berusia 65 tahun terbabit semasa dia berada di rumahnya di sebuah kawasan perumahan elit di daerah Kuala Muda kira-kira pukul 10 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, warga emas terbabit mengesyaki jam tangannya dicuri dua lelaki yang datang menghantar tilam dipesan sehari sebelum kejadian.

“Semasa dua pekerja perabot itu datang menghantar tilam yang dibeli peniaga itu, hanya isterinya sahaja yang berada di rumah.

“Keesokan harinya, warga emas itu yang juga merupakan pemilik sebuah ladang kelapa sawit dan isterinya baru menyedari jam tangan berwarna emas diletakkan di atas piano di tepi tangga rumah mereka hilang,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zaidy, selepas menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan dilakukan, polis menahan dua pekerja kedai perabot itu yang terdiri daripada seorang penduduk tempatan dan seorang warga Bangladesh.

“Suspek lelaki tempatan berusia 50 tahun manakala warga Bangladesh berusia 51 tahun dan dia mempunyai permit kerja yang sah.

“Walau bagaimanapun pemeriksaan dijalankan di rumah lelaki tempatan dan asrama warga Bangladesh itu tidak menemui jam berkenaan dan kita masih menjalankan siasatan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya kini dalam proses memohon perintah reman untuk membolehkan dua suspek ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI