HONDA Malaysia pada Julai lalu telah menawarkan empat varian sebagai pilihan untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) keluarannya, HR-V.
Varian tertinggi iaitu RS menggunakan enjin 1.5 liter hibrid, manakala varian V dan E hadir dengan enjin 1.5 liter turbo diikuti varian S menggunakan enjin aspirasi normal.
Baru-baru ini ketika sesi pandu uji model berkenaan, Honda memaklumkan sehingga 26 September lalu, hampir 7,000 unit model HR-V sudah didaftarkan dan kira-kira 30,000 tempahan sudah diterima.
Mengikut peratusan, daripada 7,000 unit yang didaftarkan, varian V mencatatkan 52 peratus, manakala varian E sebanyak 18 peratus menjadikan 70 peratus daripada model didaftarkan adalah berenjin turbo.
Ketika sesi pandu uji itu, penulis berpeluang memandu varian V dari Kuantan, Pahang ke Dungun, Terengganu melibatkan laluan lebuh raya.
Enjin 1.5 liter VTEC turbo dengan kotak gear CVT itu dapat membawa SUV seberat 1,403 kilogram ini dengan mudah.

Kuasa maksimum yang dihasilkannya ialah 181PS pada 6,000rpm dan boleh mencapai kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) dengan mudah. Atas kertas, kelajuan maksimumnya ialah 200 km/j.
Tork tertingginya pula 240Nm pada 1,700-4,500rpm dan boleh memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 8.8 saat sahaja.
SUV ini juga hadir bersama tiga mod pemanduan seperti Sport, Normal dan Econ. Penggunaan petrol yang dicatatkan ialah 6.5 liter untuk perjalanan sejauh 100km.
Dari sudut pengendalian, model ini selesa dipandu, sterengnya lebih responsif dan tidak terlalu ringan sekali gus lebih yakin ketika memandu.
Model ini menggunakan suspensi hadapan jenis MacPherson Strut dan Torsion Beam di belakang.

Pada bahagian luaran, varian V ini tidak banyak berbeza dengan RS. Antara perbezaannya adalah seperti berjeriji gril hitam, tiada logo RS, terdapat logo turbo di belakang dan ekzos berkembar.
Varian ini menggunakan rim yang sama dengan RS iaitu bersaiz 18 inci. Cuma yang bezanya, RS tiada tayar gantian, manakala varian V menggunakan tayar bersaiz 18 inci sebagai tayar gantian.
Masuk ke ruang kabin, HR-V varian V ini juga hadir dengan paddle shifter, kluster meter bersaiz tujuh inci, tempat duduk kulit dan tempat duduk pemandu berkawalan elektrik.
Sistem audio dengan paparan bersaiz lapan inci pula hadir dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, HR-V ini turut hadir dengan sistem Air Diffusion yang membolehkan pemandu atau penumpang mengubah angin secara tertumpu atau disebarkan ke seluruh bahagian dalam kenderaan.
Dari sudut keselamatan, SUV ini hadir lengkap dengan ciri-ciri seperti Honda LaneWatch, Hill Descent Control (HDC), Agile Handle Assist (AHA), parkir brek elektrik dan peringatan tempat duduk belakang.
Kesimpulannya, penulis merasakan varian V ini mempunyai tarikan dari sudut pengalaman pemanduan walaupun tiada beberapa ciri-ciri seperti power tailgate, penghawa dingin dua zon dan bumbung bahagian dalam warna cerah yang ada pada varian RS.

Tawaran enjin VTEC turbo dilihat lebih menarik perhatian para pembeli terawal Honda HR-V yang baharu ini.
Bagi penulis, pilihan penulis bersama 7,000 pembeli terawal ini. Anda pula bagaimana?














