fbpx

Hong Kong tawar 500,000 tiket penerbangan percuma untuk pikat pelancong asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hong Kong menarik kira-kira 56 juta pelawat setahun sebelum pandemik Covid-19. - CNN

HONG KONG – Pihak berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong (AAHK) mengesahkan ranca­ngan memberikan 500,000 tiket penerbangan percuma kepada pelancong asing, bertujuan untuk meningkatkan aktiviti pelancongan di bandar raya itu, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Langkah itu yang pertama kali diumumkan dua tahun lalu, disahkan oleh seorang jurucakap AAHK. Beliau berkata, sebanyak 500,000 tiket bernilai sekitar AS$254.8 juta (RM1.18 bilion) akan diagihkan kepada pelawat asing dan penduduk bandar raya itu.

“Pada 2020, AAHK membeli kira-kira 500,000 tiket penerba­ngan lebih awal daripada syarikat-syarikat penerbangan tempatan di Hong Kong sebagai sebahagian daripada pakej bantuan menyokong industri penerbangan.

“Pembelian ini bertujuan untuk menyuntik kecairan pasaran ke dalam syarikat penerbangan, manakala tiket akan diberikan kepada pelawat dari seluruh dunia dan penduduk Hong Kong dalam kempen pemulihan pasaran,” kata jurucakap sama.

Butiran lanjut akan diumumkan sebaik sahaja persetujuan berkaitan dicapai dengan syarikat-syarikat penerbangan.

Hong Kong terasing dari seluruh dunia kerana peraturan ketat berkaitan Covid-19. Pada satu peringkat, bandar raya itu mengarahkan pelawat untuk menjalani kuarantin selama 21 hari di bilik hotel menggunakan perbelanjaan sendiri.

Tempoh kuarantin dikurangkan daripada tujuh kepada tiga hari sebelum dibatalkan secara rasmi pada 26 September lalu. Ini mendorong ramai penduduk melayari laman web syarikat pe­nerbangan untuk menempah tiket.

Pada satu tahap, syarikat pe­nerbangan Cathay Pacific terpaksa menyediakan ‘ruang me­nunggu’ secara maya untuk mengatasi kesesakan pelanggan yang mengakses laman webnya.

Perkhidmatan tempahan secara online, Expedia pula me­nyaksikan lonjakan sembilan kali ganda untuk pencarian pe­nerbangan dari Hong Kong ke Tok­yo dan 11 kali ganda untuk Hong Kong ke Osaka, walaupun minat untuk penerbangan ma­suk ke bandar raya itu kekal tidak berubah, demikian menurut ke­tua perhubungan awam Asia Expedia, Lavinia Rajaram. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI