fbpx

WHO siasat ubat batuk beracun bunuh 66 kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ubat-ubatan tersebut adalah sirap batuk dan selesema yang dihasilkan oleh syarikat di India. - Wion News

GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menyiasat beberapa ubat tercemar yang didapati mengandungi bahan ki­mia berbahaya dengan sebahagian besarnya adalah bagi kegunaan pediatrik, lapor laman berita Wion News kelmarin.

WHO mengeluarkan amaran bahawa ubat batuk dan selesema  toksik itu dipercayai mempunyai kaitan  dengan kematian seramai 66 kanak-kanak di negara Afrika Barat, The Gambia.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu berkata, ubat  tersebut ialah ubat  batuk dan selesema dalam bentuk sirap yang dihasilkan oleh syarikat Maiden Pharmaceuticals Limited, berpangkalan di India.

“WHO hari ini (kelmarin) mengeluarkan amaran produk untuk empat jenis ubat tercemar yang dikenal pasti di The Gambia. Ubat tercemar ini  berkemungkinan mempunyai kaitan dengan sebilangan kes kecederaan buah pinggang akut serta kematian 66 kanak-kanak. 

“Empat ubat  tersebut melibatkan si­rap batuk dan selesema yang dihasilkan oleh Maiden Pharmaceuticals Limited di India.

“WHO sedang menjalankan siasatan lanjut bersama syarikat tersebut dan pihak berkuasa kawal selia ubat-ubatan di India,” kata Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi beberapa kenyataan di laman Twitter.

Empat ubat  yang dikenal pasti ialah  Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.

“Setakat ini, syarikat pengeluar (ubat-ubatan) tersebut masih belum memberikan jaminan keselamatan dan kualiti produknya kepada WHO.

“Analisis makmal bagi sampel-sampel produk mengesahkan bahawa ia mengandungi kuantiti dietilena glikol dan etilena glikol yang tidak boleh diterima, sekali gus menjadikannya sebagai bahan pencemar,” tambah Tedros.

Kesan toksik bahan tersebut adalah termasuk sakit perut, muntah, cirit-birit, ketidakupayaan untuk membuang air kecil, sakit kepala, keadaan mental yang berubah dan kecederaan buah pinggang akut sehingga  membawa kepada kematian.

Menurut WHO, maklumat yang diterima daripada Pertubuhan Kawalan Standard Ubat Pusat India menyatakan bahawa syarikat pengeluar hanya membekalkan ubat yang tercemar itu ke The Gambia. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI