fbpx

‘Raja Di Sini’ salam kenal SUAV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MEMILIKI kecenderungan muzik tersendiri, tiga anak muda SUAV ini dilihat mempunyai banyak potensi khususnya dalam penciptaan lagu.

SOFISTIKATED dan lembut, itu salam kenal SUAV, sekumpulan anak muda yang dianggotai Adam Imanullah Izzuddin  di posisi vokal, gitar dan rap, Muhammad Akif Taqiuzaman Norzam, (vokal, gitar dan piano) serta Mohamad Ariff Mohamad Salleh Aludin (bass) mendefinisikan kugiran mereka.

Membawa falsafah muzik bercampur pop, hip-hop, elektronik dan rock, SUAV kini muncul dengan single perdana berjudul Raja Di Sini menceritakan seseorang yang bertahan dan telah berjaya berada di kedudukan sekarang selepas melalui sepak terajang kehidupan.

Dirakamkan di Rumie Music Lab (RML), Raja Di Sini mendapat sentuhan barisan karyawan dan legenda termasuk komposer dan penerbit terkenal iaitu Aidit Alfian selaku penerbit, Alfa Booty (penolong penerbit), Rumie Booty (jururakam bunyi dan mixman) dan Retno Junaidi selaku pengendali studio.

“Demo lagu ini dirakam beberapa tahun lalu dan dipilih untuk menjadi lagu perdana kami dengan nafas dan susunan muzik baharu, agak berbeza berbanding muzik band pop rock lain.

DITUBUHKAN sejak 2015, SUAV yang dianggotai oleh (dari kiri) Ariff, Adam dan Akif kini bersedia menempuh badai sebenar dunia muzik arus perdana.

Tercetus

“Asal usul lagu ini tercetus daripada penerbit kami, Aidit Alfian. Kami dilamar oleh sebuah projek indie yang meminta lagu runut bunyi filem

Gantung The Movie yang akan disiarkan secara strim antarabangsa,” jelas Akif.

Diadaptasi daripada novel Gantung 1 dan Gantung 2 nukilan Nadia Khan menjadi naskhah bersiri Gantung The Series untuk Astro dan sebuah portal penstriman Indonesia.

Naskhah berkenaan menampilkan barisan pelakon mantap seperti Ikmal Amry, Hafreez Adam, Randy Pangalila, Brandon Salim, Mentari De Marelle dan Gita Sucia.

Penggambaran Gantung bagaimanapun ter’gantung’ seketika sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesibukan jadual para pelakon,” terang Adam tentang asal usul single mereka.

“Selepas melalui proses rakaman lagu Raja Di Sini, lagu dan video, SUAV sangat berpuas hati dengan apa yang telah dihasilkan. Kami berharap pendengar dapat menghayati ‘pengalaman’ sebenar dalam lagu ini melalui muzik videonya selain berharap lagu ini menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup anda,” ujar Akif pula.

“Syukur, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana menjadi penaja muzik video kami dan kepada Cendana kerana menjayakan penerbitan rakaman lagu kami,” tambah SUAV.

Selaku penerbit, Aidit Alfian mengaku tidak sukar menjalin kerjasama dengan SUAV yang disifatkan sebagai memiliki banyak potensi.

Tiga anak muda dengan masing- masing berusia 24 tahun itu bukan sahaja berbakat dalam bidang instrumen, tetapi mampu menulis lagu dan menjadi komposer yang baik.

“Selain memberi kerjasama, mereka juga sangat mudah diajar. Potensi atau bakat SUAV selain daripada bermain gitar dan menyanyi, sebenarnya adalah dalam penulisan lagu dan lirik.

Potensi

“Kekuatan mereka apabila mereka kerja bersama, bermaksud mereka bagus bersama dengan tanpa seorang ‘bintang’ dalam satu kumpulan.

“Sebagai komposer dan penulis lagu, saya sangat menggalakkan mereka untuk terus berkarya dan menulis lagu, kerana sememangnya mereka mempunyai bakat semula jadi dan kesungguhan untuk terus maju,” ujar Aidit Alfian.

Sejak ditubuhkan pada 2015, SUAV kini siap menempuh ‘badai’ dunia muzik sebenar.

“Kami ingin mencipta karya yang mampu menyentuh setiap kerumitan perasaan seseorang sebagaimana kami merasai,” tambah Arif.

Selain Raja Di Sini, SUAV sudah merencana untuk meluncurkan single kedua mereka berjudul Sunflower dalam masa terdekat. Single tersebut juga menerima sentuhan kerjasama daripada Alfa Booty.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN