SEKALI imbas, sosok tubuh Hasbulla Magomedov tidak ubah seperti kanak-kanak berusia lima tahun dengan miliki ketinggian tidak sampai 1 meter dan berat, 16 kilogram.
Dia turut dikurniakan rupa paras ‘comel’, selain memiliki suara kecil serta tingkah laku lucu yang menyerupai seorang kanak-kanak lelaki.
Hakikatnya, Hasbulla telah berusia 19 tahun. Situasi unik tersebut berlaku disebabkan masalah Kekurangan Hormon Pertumbuhan (GHD) atau Dwarfism yang dihadapinya.
Menurut pakar, masalah GHD berlaku disebabkan rembesan hormon pertumbuhan yang keluar dari kelenjar pituitari anterior tidak mencukupi sehingga menyebabkan perkembangan terbantut.
Biasanya, mereka yang mengalami masalah tersebut akan melalui gejala seperti keletihan, kebimbangan atau kemurungan, selain perasan terasing daripada orang lain.
Bagaimanapun, Hasbulla berbeza dengan pesakit lain, dia menjalani kehidupan hariannya dengan tenang serta penuh keyakinan bersama orang di sekelilingnya.
Malah, video tingkah lakunya yang bersahaja dan lucu telah meraih populariti luar biasa dalam media sosial dengan jumlah pengikut di TikTok telah mencecah 2.4 juta orang.
“Faktor utama yang mendorong saya memuat naik video-video pendek di dalam TikTok adalah untuk mengisi masa lapang sewaktu pandemik Covid-19 lalu.
“Dalam tempoh singkat, saya tidak sangka dapat mengumpul jumlah pengikut yang ramai. Malah, orang mula mengenali saya ketika berada di luar,” ujarnya kepada portal Dmarge baru-baru ini.

Hasbulla juga pernah memberitahu agensi berita, Barstool Sports bahawa dirinya lebih popular daripada bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo.
“Saya tidak peduli dengan Ronaldo. Saya lebih terkenal daripadanya. Satu-satunya perkara yang dia (Ronaldo) pandai lakukan hanya menghantar bola,” seloroh Hasbulla.
Menurut laporan, hasil pendapatan Hasbulla menerusi TikTok dan media sosial lain mencecah lebih AS$200,000 (RM930,000) dengan pendapatan bulanan AS$80,000 (RM373,000).
Faktor utama membuatkan Hasbulla meraih populari hebat adalah disebabkan dia berkawan dengan legenda seni bela diri campuran (MMA) dan juara lightweight, Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov.
Malah, dia juga dilihat sering melakonkan ‘meme’ tingkah laku Khabib sewaktu bertarung dalam UFC, sekali gus membuatkan ramai pengguna media sosial memberi julukan ‘Mini Khabib’ kepadanya.
“Hasbulla adalah jiran Islam saya di Dagestan. Sebelum terkenal lagi, dia sering menghabiskan masa bersama kami di gimnasium. Saya mempunyai hubungan istimewa dengannya,” ujar Khabib.
Disebabkan minat mendalam terhadap arena MMA, Hasbulla pernah mencetuskan sensasi media sosial pada tahun lalu apabila mencabar Abdu Rozik untuk bertarung di dalam Octagon, UFC.
Untuk makluman, Rozik juga merupakan seorang penghidap GHD yang memiliki sosok tubuh dan perwatakan seperti kanak-kanak meskipun telah berusia 19 tahun.

Rozik yang berasal dari Tajikistan merupakan seorang penyanyi, namun diketahui terlibat secara aktif dalam arena tinju sejak kecil.
Bagaimanapun, pertarungan tersebut tidak dapat diteruskan selepas mendapat bantahan daripada Persatuan Sukan Orang Kerdil Rusia yang menggelarkan pertarungan berkenaan sebagai tidak beretika.
Malah, pertarungan itu mendapat bantahan daripada Khabib yang mahu melihat kedua-dua ikon global itu berbaik-baik bagi membantu mengumpul dana amal.
“Sejujurnya, saya tidak mahu melihat mereka bergaduh. Saya tidak menyokong sama sekali idea ini. Ia bukan idea yang baik. Mereka berdua merupakan nama besar.
“Hasbulla dan Rozik boleh melakukan perkara bermanfaat bersama-sama. Misalnya, melakukan perkara baik seperti menjadi duta bagi mengumpul dana amal.
“Kita sudah melihat pelbagai pertarungan sebelum ini. Kita juga sudah mempunyai pelbagai pertempuran di seluruh dunia. Pada saya, keamanan lebih baik daripada pergaduhan dan peperangan,” ujar Khabib.
Perseteruan Hasbulla dan Rozik turut mendapat perhatian Presiden UFC, Dana White sehingga mengundang kedua-dua ikon tersebut untuk menonton acara UFC 267 di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu pada tahun lalu.
Sewaktu acara itu, mereka secara tiba-tiba bergaduh di tepi Octagon sebelum ditenangkan orang sekeliling. Meskipun begitu, Hasbulla sempat melepaskan satu sepakan padu di dada Rozik.
Bagaimanapun, cubaan Rozik membalas tendangan tersebut tidak berjaya, sebelum membawa perkara berkenaan ke dalam media sosial.

Malah, video pertarungan mereka juga tular dalam media sosial.
“Dia (Hasbulla) membuatkan dirinya semakin jelas. Dia melarikan diri seperti kanak-kanak perempuan. Misi selesai bro,” ciap Rozik dalam Twitter miliknya.
Berkemungkinan pertarungan Hasbulla dan Rozik akan menjadi kenyataan satu hari nanti, memandangkan Dana White sangat berminat untuk menganjurkan perlawanan antara mereka.
Sementara itu, menurut laporan wartawan UFC, Igor Lazori, Hasbulla juga telah menandatangani kontrak lima tahun bersama UFC bagi membantu mempromosikan pertarungan-pertarungan yang bakal berlangsung.
“Hasbulla telah menandatangani kontrak selama lima tahun dengan UFC. Pertarungan tidak akan berlaku buat masa ini, tetapi dia akan mempromosikan acara UFC.
“Kami tidak akan bercakap mengenai jumlah bayaran secara terperinci. Tetapi jumlahnya mungkin lebih besar daripada peserta UFC sendiri,” ujar Lazori.
Tindak-tanduk Hasbulla seperti mengesahkan kerjasamanya dengan UFC. Terbaharu, dia memanaskan media sosial apabila berbalas kenyataan dengan bekas juara featherweight, UFC, Conor McGregor.
“Hai saudara (Dana White) dan UFC tolong wujudkan pertarungan saya dengan McGregor. Saya sedang lapar dan akan menghancurkannya dengan semangat juang tinggi.
“Saudara saya Khabib pernah mengalahkannya dan seluruh pasukan dia sebelum ini. Sekarang, masa untuk saya pula bangkit,” tulis Hasbulla dalam akaun media sosialnya.
Meskipun memiliki kemasyhuran hidup ketika ini, namun Hasbulla mengalami kesukaran untuk mendapat kawan sejati seperti sebelum menjadi popular.
Dia menambah, jumlah rakannya juga semakin berkurangan kerana kebanyakan mereka mula mengharapkan balasan berupa wang setiap kali bertemu.
“Saya mahu kawan rapat seperti orang lain. Ada sedikit pun sudah memadai bagi saya.
“Sejak akhir-akhir ini, ramai kawan saya mula mengejar duit. Semua orang minta duit,” jelasnya.
Hasbulla turut memaklumkan, kehidupan dilaluinya tidak seindah seperti dipaparkan dalam media sosial.
“Jangan sesekali bermimpi untuk hidup seperti ini. Ia tidak sebagus difikirkan ramai pihak. Ia bukan semudah disangka.
“Kadang-kadang saya dibawa ke sana, kemudian ke sini. Semua orang nampak berapa banyak wang yang saya dapat. Hidup seperti ini sangat sukar, saya tidak mengesyorkannya.
“Sebenarnya, perkara paling penting dalam hidup ini adalah sentiasa sihat, bergembira dan berseronok,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai pasangan hidup, Hasbulla memaklumkan, dia masih belum bersedia untuk keluar membuat janji temu dengan mana-mana wanita buat masa ini.
Jelas Hasbulla, usianya masih muda untuk menjalin hubungan lebih serius dan dia akan memikirkan soal jodoh apabila tiba masanya.
Dalam pada itu, syarikat pengurusnya memaklumkan, wanita yang menyimpan hasrat untuk bergambar atau memikat Hasbulla disaran supaya melupakan hasrat tersebut.
“Dia tidak akan bergambar dengan mana-mana wanita kerana kepercayaan dan budayanya,” kata syarikat itu.














