fbpx

Kumpulan bersenjata bunuh datuk bandar, 18 yang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Almeda antara yang terbunuh dalam serangan tersebut. – Pihak berkuasa San Miguel Totolapan

BANDAR RAYA MEXICO – Seorang datuk bandar sebuah pekan di barat daya Mexico dan sekurang-kurangnya 18 individu lain maut apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang dewan majlis perbandaran, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Polis berkata, kumpulan lelaki bersenjata itu menyerbu masuk ke dalam bangunan Dewan Majlis Perbandaran San Miguel Totolapan pukul 2 petang (waktu tempatan) kelmarin.

Beberapa gambar yang dikongsikan di internet menunjukkan bangunan tersebut dipenuhi lubang akibat terkena peluru.

Parti politik PRD yang dianggotai oleh Datuk Bandar, Conrado Mendoza Almeda menyelar pembunuhannya dan menganggap ia dilakukan oleh ‘pengecut’. Sehubungan itu, PRD mendesak supaya keadilan ditegakkan.

Serangan tersebut dilaporkan didalangi kumpulan penjenayah dikenali sebagai Los Tequileros.

Beberapa anggota polis dan kakitangan majlis perbandaran dilaporkan antara mangsa yang terbunuh dalam serangan tersebut. Imej yang terpapar di media sosial menunjukkan mayat mang­sa yang berlumuran darah dan bergelimpangan.

Bapa Almeda yang merupakan bekas datuk bandar, Juan Mendoza Acosta turut terkorban di kediamannya sebelum sera­ngan berlaku.

Laluan sebuah lebuh raya menuju ke San Miguel Totolapan turut disekat menggunakan beberapa kenderaan berat. Taktik itu digunakan bagi menghalang anggota keselamatan memasuki bandar tersebut.

Dalam satu laporan awal media tempatan, peguam negeri Guerrero berkata, 18 orang terbunuh dan tiga yang lain cedera.

Susulan kejadian tersebut, Kementerian Pertahanan Mexico telah mengerahkan unit askar dan tentera laut bagi memburu kumpulan penyerang terbabit. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI