fbpx
Tangkap layar seorang lelaki dilarikan oleh beberapa individu dengan menaiki sebuah MPV Khamis lalu.

Tiga lagi ditahan, kes melarikan ahli perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA – Tiga lagi suspek ditahan semalam berhubung kes melarikan seorang ahli perniagaan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dalam kejadian berdekatan sebuah restoran pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketiga-tiga suspek yang tidak bekerja ditahan kira-kira pukul 3 petang di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya.

“Tangkapan berusia 55 tahun mempunyai 14 rekod lampau dalam kesalahan dadah dan jenayah, manakala seorang lagi berusia 26 tahun mempunyai satu rekod lampau kesalahan jenayah.

“Bagi tangkapan berusia 53 tahun pula, tiada kesalahan rekod lampau. Ujian air kencing ke atas kesemua mereka didapati negatif sebarang dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut merampas beberapa pakaian, telefon bimbit kesemua suspek dan sebuah kenderaan Toyota Camry yang digunakan semasa kejadian.

“Mereka ditahan reman selama tiga hari sehingga Sabtu ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, pekerja kilang dan penjual sayur ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes melarikan seorang ahli perniagaan menggunakan MPV Toyota Vellfire di Jalan Pandan Indah di sini, Khamis lalu.

Mangsa yang berusia 38 tahun hadir ke IPD Ampang Jaya sekitar jam 10.45 malam, selepas dilepaskan oleh suspek di Klang.

Susulan itu, tiga lelaki lelaki telah didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki berdekatan sebuah restoran di Jalan Pandan Indah, dalam kejadian pada Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE

POPULAR