fbpx

Korea Selatan, AS ‘balas’ bedilan peluru berpandu Korea Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar edaran Kementerian Pertahanan Korea Selatan menunjukkan empat jet pejuang F-15K sedang menjalani latihan pengeboman di Laut Kuning kelmarin. - AFP

SEOUL – Tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan beberapa misil ke  Laut Timur semalam sebagai tindak balas kepada tindakan Korea Utara yang membedil peluru berpandu balistik ke arah Jepun kelmarin.

Korea Utara yang baru sahaja mengisytiharkan statusnya sebagai negara senjata nuklear melancarkan peluru berpandu balistik jarak sederhana (IRBM) ke atas Jepun buat pertama kali dalam tempoh lima tahun.

Tindakan tersebut mendorong Tokyo mengeluarkan amaran berpindah dan berlindung di bawah tanah atau dalam bangunan kepada penduduk di beberapa wilayah terlibat.

“Kedua-dua pasukan tentera (Korea Selatan dan AS) melepaskan dua peluru berpandu balistik jarak dekat  Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) ke kawasan perairan yang disasarkan tepat mengenai sasaran maya.

“Latihan itu menunjukkan keupayaan dan kesiagaan untuk meneutralkan permulaan provokasi sambil mengekalkan kedudukan pemantauan yang berterusan,” kata Ketua Angkatan Tentera Korea Selatan, Jeneral Kim Seung-kyum dalam satu kenyataan.

Seoul turut mengesahkan bahawa salah satu peluru berpandu yang dibedil tenteranya gagal mengenai sasaran lalu jatuh di bahagian darat sejurus dilancarkan tanpa menyebabkan sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, ia mencetuskan panik dalam kalangan penduduk di kawasan berhampiran Gangneung yang tidak mengetahui mengenai latihan tentera yang dijalankan.

Sebelum itu pada kelmarin, jet pejuang Korea Selatan dan AS menjalankan latihan pengeboman ke arah sasaran di Laut Kuning.

“Latihan itu bertujuan untuk memastikan bahawa kita mempunyai keupayaan penuh pasukan ketenteraan untuk bertindak balas terhadap provokasi oleh Pyongyang sekiranya ia berlaku.

“Ia tidak sepatutnya berlaku sehingga ke tahap sebegitu. Kami telah menjelaskan kepada Kim Jong-un bahawa kami bersedia untuk duduk berunding tanpa prasyarat. Kami (AS) cuma mahu melihat zon nyahnuklear di Semenanjung Korea,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby.

Bagaimanapun, Kirby mendedahkan bahawa Pemimpin Tertinggi Korea Utara itu tidak menunjukkan minat untuk berunding malah, secara terang-terangan melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menjalankan ujian peluru berpandu tanpa henti.

Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol menggelar pelancaran peluru berpandu oleh Pyongyang sebagai provokasi terang-terangan dan berikrar akan bertindak balas dengan tegas.

Ujian peluru berpandu ke arah Jepun pada kelmarin merupakan latihan kelima Pyongyang dalam tempoh 10 hari.

Ia dilakukan secara berturut-turut ketika Seoul, Tokyo dan Washington meningkatkan latihan tentera bersama untuk mengatasi ancaman Pyongyang. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI