fbpx

Kastam rampas rokok seludup RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian rokok seludup dari China bernilai lebih RM10 juta yang dirampas di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah pada 22 September lalu.

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas rokok seludup dari China bernilai lebih RM10 juta di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, dekat sini pada 22 September lalu.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, rokok seludup itu dikesan ketika anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Gelang Patah menjalankan pemeriksaan pada pukul 11.20 pagi.

Beliau berkata, mesin pengimbas telah mengesan imej yang meragukan dalam muatan kontena berukuran 12 meter.

“Kontena yang diimport dari luar negara itu dipercayai transit di Pusat Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas dengan destinasi terakhir yang diikrar adalah di Pelabuhan Kota Kinabalu.

“Pemeriksaan imbasan mendapati imej tidak sama seperti yang diikrarkan. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 9.18 juta batang rokok putih dipercayai tidak berkastam yang diimport dari luar negara,” katanya.

Sazali berkata, semakan ke atas dokumen mendapati kontena tersebut telah diikrar membawa pelbagai jenis barangan antaranya lampu, aksesori komputer, peralatan bakeri, peralatan bayi dan pemanggang barbeku elektrik.

Katanya, kontena yang membawa muatan rokok bernilai RM3.67 juta, manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit adalah sebanyak RM6.42 juta.

“Keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai adalah berjumlah lebih RM10 juta,” katanya.

Kes disiasat mengikut Peraturan 18 Peraturan-peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 dan Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar dalam manifest dan mengimport barang larangan tanpa permit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI