fbpx
Mohamad menyampaikan hadiah pertandingan yang dianjurkan sempena Mini Karnival Kemahiran Keluarga Malaysia Kemas Negeri Sembilan di Rantau dekat Seremban hari ini.

Hairan pembangkang tidak mahu PRU awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini melemparkan sindiran pedas kepada pembangkang yang memberikan pelbagai alasan enggan pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal berbanding tempoh pemerintahan yang dibenarkan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, sejak kali pertama PRU diadakan di negara ini sehingga PRU pada 2018, parti pembangkang adalah pihak yang sering mendesak pilihan raya diadakan lebih awal sebelum penggal pemerintahan berakhir.

Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, kali ini pembangkang tiba-tiba menunjukkan sikap berbeza dengan menggesa PRU tidak diadakan tahun ini.

“Dahulu sampai tidak tidur malam hendakkan pilihan raya diadakan lebih awal.

“Tapi PRU15 ini mereka tidak mahu pula. Saya hairan tengok reaksi mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Kemahiran Keluarga Malaysia Kemas Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi parti pembangkang yang tidak setuju supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal berbanding mandat sehingga pertengahan tahun depan.

Kelmarin, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan pada tahun ini juga.

Keputusan itu telah mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan parti pembangkang dengan pelbagai alasan.

Mohamad menarik perhatian lagi, di seluruh dunia, semua parti pembangkang mahu PRU diadakan awal bagi membolehkan mereka mencapai kemenangan dan membentuk kerajaan.

“Lambat nak siang (rasa tidak sabar) mereka mahu PRU dilaksanakan. Tapi di Malaysia saya tidak tahu apa yang telah terjadi kepada mereka,” ujarnya ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO berkata, pihaknya kini sedang memanggil beberapa jawatankuasa bahagian parti itu untuk mengemas kini persiapan bagi menghadapi PRU.

Katanya, tindakan itu dibuat untuk melihat strategi dan gerak kerja di bahagian yang terlibat bagi memastikan persiapan dibuat dengan cekap dan kemas.

“Bilik gerakan pilihan raya di ibu pejabat parti akan memantau usaha ini setiap minggu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR