fbpx

Siasatan segera siasat kemungkinan salah laku Tommy Thomas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tommy Thomas.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agar satu siasatan lanjut dilaksanakan segera oleh agensi penguatkuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan wujudnya salah laku oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Arahan itu dikeluarkan Ismail Sabri selepas meneliti laporan dibentangkan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk ‘My Story:Justice in Wilderness’ tulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan siasatan dibuat, pasukan itu telah mengkategorikan sebanyak 19
isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut dan ia dibahagikan kepada empat isu utama.

“Antara isu utama itu temasuklah dakwaan ke atas Badan Kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan selain tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional serta kenyataan berbaur hasutan.

“Pasukan Petugas Khas seterusnya mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, beliau telah mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguatkuasa berkaitan bagi menyiasat kemungkinan salah laku oleh Tommy Thomas.

“Siasatan akan dijalankan antaranya di bawah Seksyen 124(1) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI