fbpx
RAYSHA Rizrose mengakui kini hatinya terbuka untuk melangkah ke alam perkahwinan dengan kekasihnya, pelumba kereta F3, Nabil Jeffri.

Pernah putus 4 bulan, Raysha sedia jadi isteri pelumba F3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Selepas menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pelumba kereta F3, Nabil Jeffri selama 10 tahun, aktres jelita Raysha Rizrose akhirnya mengakui hatinya terbuka untuk bergelar seorang isteri.

Pemilik nama penuh Farza Naquraisha Mohd. Fariz, 26, itu memberitahu, hatinya mula terbuka selepas disunting menjadi wajah terbaharu koleksi busana pengantin pereka tempatan terkenal, Rizman Ruzaini.

“Sebelum ini memang saya pernah cakap tidak bersedia sebab belum capai banyak perkara dalam hidup tetapi selepas terlibat dalam koleksi pengantin ini, hati mula berkata-kata ‘mungkin sudah tiba masanya’.

“Setakat ini tarikh belum ada lagi tetapi saya kini ke arah itu, mungkin tahun depan. Persediaan pun belum buat cuma rasa telah tiba masa untuk saya settle down dan berkahwin,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Sama seperti pasangan bercinta lain, pelakon drama Ryan Aralyn itu mengakui pernah melalui fasa putus cinta sebelum mengambil keputusan menjalin semula hubungan tersebut.

“Sebelum ini kami bercinta jarak jauh dan pastilah ada dugaan. Tipulah jika tidak gaduh atau putus cinta.

“Ada satu tempoh, hubungan kami putus selama empat bulan namun semuanya kembali terjalin semula.

“Walaupun sebelum ini berjauhan, kami memahami antara satu sama lain. Jika ada masalah, kami akan segera cari jalan penyelesaian,” ujarnya.

Berkongsi tentang impian perkahwinan, dia juga ingin melalui fasa merisik, bertunang dan seterusnya majlis perkahwinan.

Sebelum ini, Raysha jarang berkongsi kepada umum tentang hubungan cinta dengan Nabil yang dikenalinya sejak usianya 14 tahun. – KOSMO! ONLINE

POPULAR