fbpx

Lee Zii Jia bakal berlatih bersama Axelsen, Antonsen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA bakal menjalani latihan bersama dua pemain iaitu Jaguh No.1 dunia, Viktor Axelsen serta Anders Antonsen yang berada di ranking ketiga dunia.

SEBAGAI persediaan bagi menghadapi kejohanan badminton Terbuka Denmark 18 hingga 23 Oktober depan, perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia dijangka menjalani latihan akhir di sana seminggu sebelum kejohanan berlangsung.

Paling menarik, juara Asia itu mungkin menjalani latihan bersama dua pemain tuan rumah, iaitu pemain No.1 dunia, Viktor ­Axelsen dan Anders Antonsen (pemain ranking ketiga dunia).

Latihan bersama dua jaguh masa kini itu dilihat sebagai langkah terbaik untuk Zii Jia mendapatkan rakan sepelatih terbaik bagi melakukan kebangkitan selepas kecewa pada penampilan di Kejohanan Dunia dan Terbuka Jepun bulan lalu.

“Saya mungkin berlepas ke Denmark lebih awal, iaitu 9 Oktober untuk menjalani latihan. Belum pasti sama ada berlatih di persatuan atau di luar, tetapi saya sudah hubungi Axelsen dan Antonsen.

“Semua orang tahu Axelsen adalah pemain terbaik buat masa sekarang dan dia berjaya mengekalkan prestasinya de­ngan baik. Dia merupakan pemain yang saya kagumi sejak sekian lama,” kata pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Zii Jia yang mahu mengutip mata kelayakan ke saingan Jelajah Dunia Akhir di Guangzhou, China Disember depan, bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran khusus pada Terbuka Denmark nanti, sebaliknya mahu fokus satu demi satu perlawanan.

“Pada Terbuka Denmark ­nanti, saya tidak letakkan sebarang sasaran spesifik kerana apa yang paling penting adalah pres­tasi semasa. Tidak kisah kalah atau menang, asalkan saya dapat keluarkan prestasi terbaik.

“Selepas Terbuka Denmark, saya akan ke Terbuka Perancis. Kemudian saya juga mungkin menyertai Terbuka Jerman (Hylo), seterusnya Terbuka Australia kerana mahu kejar mata ke Jelajah Dunia Akhir nanti,” ujarnya.

Sebagai rekod, juara kejohanan Seluruh England (All England) 2021 berada pada ranking ketujuh dalam senarai kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir dengan lapan pemain terbaik akan me­layakkan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI