fbpx

Kapal angkasa NASA hentam asteroid Dimorphos, ‘selamatkan’ Bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Televisyen di Pusat Angkasa Kennedy NASA merakam imej terakhir DART sejurus sebelum ia menghentam Dimorphos sebentar tadi. - AFP

CAPE CANAVERAL, Florida – Kapal angkasa milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya ‘menghentam’ sebuah asteroid yang terletak 11.26 juta kilometer (km) dari Bumi bagi memesongkan orbitnya.

Ia sekali gus menandakan kejayaan ujian bersejarah itu dalam keupayaan manusia bagi mencegah objek angkasa daripada memusnahkan kehidupan di Bumi.

Misi Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) itu mengenai sasarannya iaitu batu angkasa Dimorphos, pada pukul 7.14 malam (waktu tempatan) tadi, 10 bulan selepas berlepas dari negeri California, Amerika Syarikat dalam misi perintisnya.

“Kita memulakan era baharu, satu era di mana kita berpotensi mempunyai kebolehan untuk melindungi penduduk Bumi daripada ancaman seperti impak asteroid yang berbahaya,” kata Pengarah bahagian Sains Planet NASA, Lori Glaze.

Dimorphos, yang merupakan sebuah asteroid bersaiz 160 meter (m) secara kasarnya hampir menyamai saiz piramid di Mesir. Ia mengorbit satu lagi asteroid bersaiz 804 m yang digelar Didymos.

Tidak pernah dilihat sebelum ini, ‘anak bulan’ itu muncul sebagai satu titik cahaya sekitar sejam sebelum pelanggaran.

Bentuknya yang seakan-akan telur dan permukaannya yang berbukit serta berbintik batu akhirnya dapat dilihat dengan jelas dalam beberapa minit terakhir, ketika DART memecut pantas ke arahnya dengan kelajuan kira-kira 23,500 km sejam.

Saintis-saintis dan jurutera NASA bertepuk tangan ketika paparan skrin menunjukkan imej terakhir yang menjadi kaku, memberi petunjuk bahawa isyarat telah hilang dan pelanggaran telah berlaku.

NASA menganggap eksperimen itu penting untuk dijalankan sebelum ia benar-benar perlu dilakukan.

Dengan menghentam Dimorphos lebih awal, NASA berharap dapat menjadikannya orbit yang lebih kecil, sekali gus mengurangkan tempoh 10 minit untuk mengelilingi Didymos, yang kini mengambil masa selama 11 jam 55 minit. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI