fbpx
HUSNAYAT dan dua daripada tiga anaknya terpaksa menumpang di rumah pusaka milik keluarga di Kampung Jelai, Pendang.

Ibu tunggal, 3 anak tumpang rumah pusaka keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG – Seorang ibu tunggal bukan sahaja menyara tiga anak bersendirian, malah hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Sejak berpisah dengan suaminya pada 2017, Husnayat Hassan, 39, dan tiga anaknya menumpang di rumah pusaka keluarga bersama keluarga abang­nya di Kampung Jelai di sini.

Wanita itu melakukan pelbagai kerja termasuk menjual pisang goreng dengan pendapatan RM50 sehari untuk menyara kehidupan mereka empat beranak.

Lebih menggusarkannya, dua anaknya, Nur Hidayah, 7, dan Mashitah, 5, semakin membesar, oleh itu dia berharap dapat mendiami rumah yang lebih selesa pada masa depan, namun de­ngan kemiskinan yang ditanggung ia sekadar angan-angan.

“Kalau wang belanja itu insya-Allah saya akan usahakan walaupun pendapatan tidak seberapa.

“Anak-anak mendapat bantuan persekolahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Makanan dan pakaian pula ada yang sumbang, tetapi anak-anak semakin membesar. Saya harap ada rumah yang selesa untuk mereka,” katanya ketika ditemui.

Menurut Husnayat, rumah pusaka yang didiami sembilan orang daripada dua keluarga itu mempunyai dua bilik dan tandasnya terletak di luar.

“Saya pernah mohon bantuan rumah daripada zakat dan kerajaan, tetapi tak dapat,” ujar­nya.

Rumah pusaka itu serba daif dan kerap rosak akibat ribut selain ancaman haiwan liar.

“Saya dan anak tidur di ruang tamu. Saya risau kerana sudah dua kali ular tedung selar masuk dalam rumah sewaktu kami sedang tidur,” ujarnya.

Tambah wanita itu, akibat ke­sempitan hidup, anak sulungnya iaitu Muhammad Haikal Hakimi, 17, terpaksa meninggalkan bangku sekolah untuk bekerja mengambil upah di kedai cuci kereta dan kedai makan bagi membantu keluarga.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional Husnayat bernombor 0213-1411-0000-7785. -KOSMO! ONLINE

POPULAR