fbpx

Polis kesan peragut rantai emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video insiden ragut rantai emas di Setapak Jaya, Selasa minggu lepas.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan peragut di dalam sebuah video insiden ragut rantai emas yang sedang dipakai mangsa ketika duduk di atas motosikal di hadapan sebuah kedai runcit di Setapak Jaya, Selasa minggu lalu.

Kelmarin, polis mengesan sebuah video yang dimuat naik oleh @nanmanjoi di Twitter memaparkan insiden ragut tersebut sekitar pukul 11.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, laporan telah dibuat mangsa minggu lepas dan kini dalam proses mengesan suspek.

“Mangsa ketika itu sedang berhenti di tepi jalan untuk membeli makanan di kawasan tersebut sebelum sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC meluru ke arahnya dari hadapan dan terus meragut rantai leher yang dipakai mangsa.

“Siasatan awal mendapati suspek ketika kejadian memakai topi keledar warna merah dan baju lengan panjang warna gelap,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Susulan itu, polis masih meneruskan siasatan dalam usaha mengesan suspek manakala, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun tanpa senjata api).

Justeru, polis memohon kerjasama mana-mana saksi awam yang melihat kejadian tersebut untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI