fbpx

Disindir, selisih faham punca adik parah dipukul abang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG JAYA – Seorang abang menumbuk muka adiknya beberapa kali sehingga retak tulang di bawah mata berpunca daripada perselisihan faham dan tidak berpuas hati disindir di kediaman mereka di Pandan Perdana, di sini.

Dalam kejadian 5 September lalu, suspek berusia 27 tahun dikatakan sedang berbincang dengan ibunya sebelum berlaku perselisihan faham sebelum mangsa yang berusia 20 tahun dipukul sehingga rebah dan pitam.

Ekoran itu, mangsa parah selepas dipukul abangnya serta dikejarkan ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan teruk di muka.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa dipukul sehingga rebah dan pitam serta dikejarkan ke hospital tersebut untuk menerima rawatan.

“Doktor yang merawatnya kemudian membuat laporan polis selepas melihat kecederaan teruk dialami mangsa.

“Susulan itu, polis mengesan suspek dan menahannya di Skudai, Johor kelmarin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati punca kejadian akibat berlaku perselisihan faham antara adik-beradik dan suspek direman bagi membantu siasatan.

“Semakan juga mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah lampau tidak dikehendaki berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI