fbpx

Abdila Iyad jadikan amanat juara Olimpik azimat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDILA memastikan pingat emas menjadi miliknya selepas melakukan angkatan 125kg dalam acara snatch dan 160kg menerusi clean and jerk pada Sukma MSN 2022 semalam.

ATLET angkat berat Wilayah Persekutuan, Abdila Iyad Abdul Jalil menjadikan pesanan pemenang pingat emas Sukan Olimpik dari Filipina, Hidilyn Diaz sebagai azimat bagi memenangi kategori 96 kilogram (kg) lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Pada acara akhir yang berlangsung di Pusat Komuniti Presint 11, Putrajaya semalam, atlet berusia 19 tahun itu memastikan pingat emas menjadi miliknya selepas melakukan angkatan 125 kilogram (kg) dalam acara snatch dan 160kg menerusi clean and jerk.

Abdila mengakui, dia gembira dan terkejut memandangkan tidak diletakkan sebagai prospek pingat emas pada edisi kali ini, namun isu doping yang tercetus sebelum ini nyata memberi peluang kepadanya memenangi acara tersebut dengan angkatan kese­luruhan 285kg.

“Syukur Alhamdulillah kerana apa yang buat hari ini (semalam) melebihi catatan terbaik peribadi (PB) untuk clean and jerk, iaitu 155kg. Saya juga gembira dapat hadiahkan pingat emas untuk pasukan Wilayah Persekutuan.

“Saya cakap bukan prospek adalah kerana saya bukanlah atlet senior dan ini merupakan Sukma pertama. Saya juga baru menjalani latihan selama lima tahun, jadi ini adalah rezeki dapat memenangi emas.

“Sebelum ini, pengurus pasukan membawa kami menjalani latihan di Jasin, Melaka dan keadaan di situ cukup panas. Kami juga melakukan panggilan video dengan Hidily (Diaz) dan dia memberi kata-kata semangat untuk kami,” katanya.

Pada masa sama, Abdila mendedahkan, sekiranya atlet Terengganu yang dibatalkan penyertaan kerana isu doping hadir pada pertandingan tersebut, peluangnya untuk memenangi pingat emas mungkin tipis.

“Secara peribadi, sepatutnya saya hanya menang pingat perak di sini tetapi atlet Terengganu ‘sangkut’ doping. Jika dia ada, mungkin sukar untuk saya dapatkan pingat emas,” ujarnya yang mula berjinak dengan sukan angkat berat sejak berusia 14 tahun.

Berada di podium bersama Abdila pada upacara penyampaian pingat adalah atlet Sarawak, Hussein Omar Mayah yang me­ngangkat bebanan keseluruhan 255kg untuk memenangi pingat perak, manakala gangsa menjadi milik Nur Syahmi Mohd. Nazri dari Perak dengan angkatan ke­seluruhan 250kg.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI